Abdul Hamid Bador

SEPANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengetahui lokasi persembunyian bekas suami Indira Gandhi, iaitu K. Padmanathan atau nama Islamnya, Muhammad Riduan Abdullah yang melarikan diri bersama anak perempuannya.

Suspek didakwa melarikan diri daripada isterinya setelah menukar agamanya 11 tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menasihati individu itu supaya tidak lagi bersembunyi dan tampil untuk menyelesaikan soal penjagaan anak perempuannya demi kebaikan kedua-dua pihak.

“Apa yang penting, saya sebagai Ketua Polis Negara sendiri mengambil berat tentang kes ini dan mengambil pendekatan menjalankan usaha supaya kedua-dua pihak dapat diketemukan dan masalah yang tertangguh selama ini dirungkai demi masa depan anak itu dan kebajikan anak terpelihara.

“Pentingnya, dalam soal ini kedua-dua pihak ibu dan bapa ada hak sebagai bekas suami dan bekas isteri di sisi undang-undang tetapi jangan sebab kita berebut, kebajikan anak pula terabai.

“Kita sekarang tak tahu dia (Muhammad Riduan) di mana? Masyarakat juga tak tahu dia di mana tapi saya tahu dia di mana..Itu sebab usaha dijalankan untuk berunding. Sila tampil ke hadapan kita selesaikan, tak payah menyorok lagi,” katanya kepada pemberita di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Terdahulu Abdul Hamid menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan (Polis Bantuan) Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) siri 26/2019 di Pekarangan Kompleks Bunga Raya KLIA.

Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh dan Ketua Penolong Pengarah Koordinasi Sumber Sokongan, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Soaihami Rahim.

Tambah Abdul Hamid, rundingan itu dapat membantu kedua-dua pihak menjamin pendidikan anak itu selain prihatin dengan perasaan Indira sebagai seorang ibu yang tidak dapat berjumpa anaknya sendiri.

“Maka itu sebabnya saya mengambil pendekatan secara diam diam saya buat kerja dalam isu ini. Insyallah.. saya tak boleh kata sebulan ke atau dua bulan tapi saya berusaha ke arah itu dan saya nampak usahanya semakin hari semakin..Jadi sabar sikit lagi.

“Tapi hak dia (Indira) nak menyaman saya ke? Kerajaan ke? Itu terpulang pada dia dan saya tak nak komen pasal itu kerana yang penting bagi pihak PDRM dan saya sendiri ialah kami bersedia dan bekerja menjalankan tanggungjawab dengan usaha fokus ke arah itu,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast