Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

PUTRAJAYA- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa kagum atas pendekatan segera yang diambil kerajaan dalam mengelakkan penularan virus novel coronavirus (2019-nCov) di negara ini.

Titah baginda, kerajaan bagaimanapun perlu mengambil langkah pencegahan yang berterusan dan tidak sesekali berkompromi dalam isu yang membabitkan kesejahteraan rakyat dan negara.

Dalam membendung penularan virus itu, baginda juga mengingatkan rakyat agar berganding bahu dengan kerajaan dalam melaksanakan langkah-langkah pencegahan.

“Dalam hal ini, beta meminta seluruh rakyat untuk mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi dan juga sama-sama menjaga kebersihan alam sekitar.

“Rakyat juga adalah diminta untuk tidak menimbulkan suasana cemas menerusi penularan berita yang tidak benar,” titah baginda pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 di Istana Melawati di sini, hari ini.

Hadir sama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Al-Sultan Abdullah juga mengajak rakyat bersama menyokong usaha yang telah dan bakal diambil kerajaan dalam menangani penularan virus itu.

Baginda turut menzahirkan keyakinan semua isu berkaitan kesejahteraan rakyat dan negara dapat ditangani jika rakyat dan kerajaan bekerjasama.

“Ibarat pepatah Melayu lama ‘berat sama dipukul, ringan sama dijinjing’, beta yakin semua isu berhubung kesejahteraan rakyat dan negara akan dapat ditangani menerusi gandingan kerjasama antara kerajaan dengan rakyat,” titah Seri Paduka.

Media melaporkan setakat semalam, coronavirus telah mengorbankan 213 orang di China dengan lebih 9,720 kes jangkitan dicatatkan.

Sebanyak 106 kes disahkan di 19 negara di luar China termasuk Malaysia yang mencatat lapan kes, kesemuanya melibatkan warga China.

Seramai 188 individu dikurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan tahun ini. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast