Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bercakap kepada media pada pada Festival Hari Wilayah Persekutuan 2020 dan Bergambar bersama Konvoi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) menolak cadangan pengenalan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam.

Naib Presidennya, Khalid Abdul Samad berkata, cadangan yang dibawa Dr. Mahathir yang merupakan pemangku Menteri Pendidikan itu belum dibincangkan Kabinet.

Bagaimanapun pada dasarnya kata beliau, pihaknya tidak bersetuju dengan cadangan subjek Sains dan Matematik diajar semula dalam Bahasa Inggeris kecuali terdapat hujah-hujah yang kukuh untuk melaksanakannya.

“Apabila isu PPSMI dibawa semasa zaman BN, pendirian kami jelas iaitu kami percaya bahawa kalau kamu hendak menambahbaik standard Bahasa Inggeris maka kamu mengajar Bahasa Inggeris, dengan menambah waktu pengajarannya, mengajar kesusasteraan Inggeris dan sebagainya.

“Tetapi ia sangat susah untuk orang yang tidak boleh memahami Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda mereka, untuk memahami pengajaran dalam bahasa asing (Inggeris).

“Kamu boleh memberitahu orang di kampung bahawa kami akan mengajar Matematik dan Sains dalam Mandarin dan ia akan lebih efektif kerana memang subjek yang susah difahami perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami tapi kalau kita ajar dalam bahasa yang orang tak faham, susah untuk difahami dan ia menambah kesukarannya.

“Tapi kita terbuka untuk perbincangan, jadi kita nak tengok apa yang dicadangkan (PPSMI). Kalau benar ianya merupakan satu usaha untuk mengajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris dan nak dilakukan, maka kita baik dengarlah hujah di sebaliknya,” katanya ketika ditanya pendirian Amanah dalam perkara itu.

Beliau berkata selepas melepaskan 1,500 peserta konvoi motosikal mengibarkan bendera sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 di Dataran Merdeka petang tadi.

Ditanya sama ada PPSMI dibincangkan Kabinet, Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, perkara tersebut hanya disebut tetapi belum dibincangkan.

Menurutnya, sekiranya ia dibawa ke Kabinet pelbagai pihak perlu dibincangkan.

“Jika hendak melaksanakan pun kita tidak boleh melakukannya dalam satu malam sebab kapasiti guru sendiri perlu diorientasikan semula memandangkan selama ini mereka dilatih mengajar dalam bahsa Melayu dan kamu tidak boleh secara tiba-tiba menukar haluan dan mengarahkan esok anda sila ajar dalam Bahasa Inggeris.

“Jika ia (PPSMI) mahu diimplimentasikan, sudah pasti akan dibawa ke Kabinet dan dibincangkan dan saya sangat yakin bahawa PM sebagai seorang yang komited kepada konsep konsensus dalam Kabinet sedar akan situasi semasa tidak sama dengan zaman BN.

“Kita ada pakatan yang kuat yang mana setiap parti mempunyai pendirian tegas dan ia sangat penting untuk membawa isu kontroversi ke Kabinet menerusi debat dan perbincangan sebelum keputusan muktamad dicapai,” katanya. – MalaysiaGazette