Ketua Jabatan Siasatan dan Pengurusan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Dzulkefly Yahya . foto AFFAN FAUZI, 23 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Dua rakan karib maut akibat parah dalam kemalangan jalan raya awal pagi tadi.

Kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 2.10 pagi tadi di Jalan Bangsar.

Ketua Siasatan Jenayah dan Pengurusan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian.

Katanya, pihaknya menerima maklumat daripada Gerakan Trafik KL pada jam 2.10 pagi yang memaklumkan berlaku satu kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggang seorang mangsa dikenali sebagai Muhammad Aiman Mohd Zaki, 21, dan rakannya pembonceng, Muhammad Nu’iman Sufian, 14, di Jalan Bangsar.

“Ketika kejadian kedua dua mangsa sedang dalam perjalanan dari arah stesen Keretapi Tanah Melayu menghala Bangsar.

“Siasatan awal Pegawai Penyiasat, Mohammad Solihi Shafie mendapati motosikal yang ditunggang Muhammad Aiman dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas sendiri melanggar pembahagi tengah jalan (simen konkrit) dikawasan jalan yang sedikit berselekoh.

“Akibat kesan perlanggaran pertama menyebabkan Aiman yang merupakan pekerja swasta telah tercampak di lorong jalan sebelah manakala Muhammad Nu’iman merupakan pelajar sekolah terhantuk pada tiang konkrit di tengah pembahagi jalan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, Muhammad Aiman pula telah terseret lebih kurang sejauh 40 meter dari tempat kejadian.

Menurutnya, kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kedua dua mangsa berasal dari Desa Mentari, Petaling Jaya dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.

“Semasa kemalangan berlaku keadaan trafik tidak sesak, cuaca baik, jalan sedikit lembab akibat hujan pada lewat malam.

“Mayat kedua-dua mangsa terlibat telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk tujuan bedah siasat,” katanya. – MalaysiaGazeyye