Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berucap pada pada Festival Hari Wilayah Persekutuan 2020 dan Bergambar bersama Konvoi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Golongan yang giat mengapi-apikan semangat Melayu dengan menganggap pembangunan Kampung Baru akan merugikan orang Melayu diminta menghentikan perbuatan tersebut, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Katanya, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyokong hasrat kerajaan membangunkan Kampung Baru merupakan mesej jelas bahawa rancangan itu adalah usaha mensejahterakan masyarakat.

“Mana-mana pihak yang masih menganggap pembangunan Kampung Baru itu merugikan Melayu, itu tidak benar dan harap menghentikan perbuatan tidak menguntungkan itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada baginda yang menyatakan sokongan penuh kepada usaha kerajan Pusat untuk membangunkan Kampung Baru.

“Sekarang ini, Agong pun dah sokong, Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) pun dah nyatakan sokongan, lalu yang mana nak gunakan semangat Melayu ini saya harap tuan-tuan semua semak fakta.

“Ini bukan merugikan Melayu tetapi ianya menguntungkan masyarakat Kampung Baru,” katanya selepas melepaskan konvoi 1,500 belia bermotosikal sempena Sambutan Hari Wilayah Perkutuan 2020 di Dataran Merdeka hari ini.

Justeru sepanjang tempoh enam bulan yang ditetapkan kerajaan untuk berbincang dengan penduduk kampung berkenaan, katanya, cukup baik apabila mengakui menerima sambutan positif.

“Insyaallah, sebab semua ikatan secara kelompok kecil di kalangan penduduk yang masih belum bersetuju dan dalam ikatan itu, kita dapati bahwa ia mendapat maklum balas positif

“Setakat ini, telah ada dalam tiga atau empat program yang mana pemilik bertemu pihak Perbadanan Pembangunan Kampung Baru dalam kumpulan kecil iaitu enam atau tujuh lot yang terdiri daripada 50 hingga 100 orang mendapati mereka memahami apa sebenarnya ingin kita lakukan, dan hasilnya mereka bersetuju,” katanya. – MalaysiaGazette