foto hiasan

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen akan dibentangkan pada Mac untuk mewujudkan institusi Parlimen yang berautonomi.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming berkata, kelulusan rang undang-undang itu akan membolehkan Parlimen berpisah daripada Jabatan Perdana Menteri.

“Parlimen akan diketuai Speaker dan bukannya di bawah tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Ini akan membolehkan pemisahan antara legislatif, kehakiman dan eksekutif. Parlimen akan menjadi badan yang betul-betul berautonomi,” katanya dalam wawancara bersama Oriental Daily.

Beliau berkata, sejak Akta Perkhidmatan Parlimen dimansuhkan pada 1992, pemisahan antara tiga cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman telah menjadi kabur.

Katanya, pemulihan autonomi juga bermakna Parlimen akan mempunyai bajet sendiri mengikut keperluannya.

“Speaker akan menjadi pengerusi jawatankuasa bajet dengan anggotanya terdiri daripada wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

“Perbincangan akan dilakukan dan jawatankuasa akan menyerahkan permintaan bajet kepada Kementerian Kewangan,” katanya.

Tambahnya, Parlimen juga boleh mengambil pekerja sendiri, termasuk untuk mengisi keperluan dalam aspek penyelidikan. – MalaysiaGazette