Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan (tiga kanan) diiringi Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail menunjukkan penurunan kadar tol pada Majlis Pengurangan Kadar Tol 18% di Lebuh Raya PLUS di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 31 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) masih lagi mengadakan perbincangan dengan kerajaan bagi mencari mekanisme terbaik untuk menampung kehilangan pendapatan kira-kira RM1 bilion setahun akibat penurunan kadar tol sebanyak 18 peratus bermula malam tadi.

Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail berkata, PLUS menggunakan banyak pendekatan baharu bagi mengoptimumkan pendapatan tetapi dalam masa yang sama tidak akan berkompromi dari segi kualiti perkhidmatan.

Namun begitu, beliau mengesahkan tiada penstrukturan semula syarikat atau pekerja yang akan dibuat sebagai langkah untuk menampung kehilangan pendapatan yang ditanggung syarikat tersebut akibat kadar terbaharu tol.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail

“Kami memang sentiasa mencari jalan untuk mengoptimumkan pendapatan.

“Saya memberi komitmen kepada pengguna bahawa kami tidak akan berkompromi dari segi kualiti perkhidmatan.

“Penyelenggaraan lebuh raya tetap akan dilakukan dengan baik seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas meraikan penurunan kadar tol sebanyak 18 peratus di sini hari ini.

Azman tidak mahu mengulas sama ada kadar tol baharu itu akan menambah beban kewangan kepada syarikat pengendali lebuh raya terbesar negara.

“Kami masih berbincang (mencari mekanisme bagi menampung kerugian pendapatan). Saya tidak boleh mengulas,” tegasnya.

Menurut Azman, PLUS membelanjakan kira-kira RM1 bilion setahun bagi kos penyelenggaraan.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Malaysia, Datuk Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan; Ketua Pengarah Lebuhraya Malaysia, Datuk Mohd. Suhaimi Hassan; dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd., Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Diskaun kadar tol sebanyak 18 peratus tersebut diberikan kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi di Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Utara-Selatan
Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Pasal Plus boleh rugi…x tahu takbir ke..rakyat yang menggunakan highway dh berlipat Kali ganda..4-5kali dari dari yang dianggarkan jika x tahu urus beri konsesi pada org lain…sekarang highway sesak sampai jem pon rugi lg ker…

Comments are closed.