Seramai 123 pelancong China dari Hubei pulang menaiki pesawat sewa khas Xiamen Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), pukul 6.30 petang tadi.

KOTA KINABALU – Seramai 123 pelancong China dari Hubei pulang menaiki pesawat sewa khas Xiamen Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), pukul 6.30 petang tadi.

Mereka menaiki pesawat sewa khas atas inisiatif kerajaan China itu selepas kerajaan membatalkan semua penerbangan dari Wuhan, China susulan jangkitan 2019 novel koronavirus.

Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China (Ma-Zhong) Sabah Dr Oh Ei Sun berkata beliau dimaklumkan kumpulan pelancong itu berada di Kota Kinabalu sejak 23 Jan lepas.

“Mereka tidak dapat balik ke China selepas pembatalan sementara semua penerbangan dari negara ini ke Wuhan sebelum ini dan semua penerbangan ke China dari KKIA sejak semalam susulan jangkitan virus itu,” katanya kepada Bernama selepas menghantar kumpulan pelancong berkenaan di KKIA.

Beliau berkata pihaknya tidak mempunyai jumlah pelancong China yang masih berada di negeri ini, namun bersedia memberi bantuan yang diperlukan untuk urusan penerbangan balik mereka.

Terdapat 10 penerbangan terus dari Wuhan ke KKIA dalam seminggu iaitu tujuh penerbangan dikendali syarikat penerbangan AirAsia dan tiga penerbangan oleh Malindo Air.

— BERNAMA