Amerika Syarikat telah menutup semua kemasukan pelancong dari China dan individu yang pernah ke China dalam menangani koronavirus. foto Agensi

WASHINGTON – Negara-negara di seluruh dunia telah menutup sempadan mereka bagi pelancong China bagi mengawal penyebaran koronavirus.

Amerika Syarikat (AS) dan Australia menolak kemasukan kepada semua ketibaan pelancong asing yang telah melawat China.

Terdahulu, negara-negara termasuk Rusia, Jepun, Pakistan dan Itali mengumumkan halangan perjalanan yang serupa tetapi Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah menasihatkan agar tidak mengambil langkah sedemikian.

“Sekatan perjalanan boleh menyebabkan lebih banyak mudarat daripada kebaikan dengan menghalang perkongsian maklumat, rantaian bekalan perubatan dan merosakkan ekonomi,” kata ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada hari Jumaat lalu.

Sebaliknya, WHO mengesyorkan memperkenalkan pemeriksaan di sempadan rasmi. Ia telah memberi amaran bahawa penutupan sempadan akan hanya mempercepatkan penyebaran virus apabila pelancong memasuki negara secara tidak rasmi.

China turut mengkritik tindakan beberapa negara yang melakukan langkah-langkah tersebut.

“WHO mengesyorkan agar tidak mengenakan sekatan perjalanan, tetatpi Amerika Syarikat mengambil langkah bertentangan. Ini bukan isyarat muhibag,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying.

Jumlah kematian akibat koronavirus kini mencecah 304 orang.

Kebanyakan kes kematian berlaku di China dan majoriti 294 kes di wilayah Hubei, lokasi pertama wabak ini dikesan.

Semalam sebanyak 45 kes kematian dicatatkan di Hubei.

Setakat ini, sebanyak 2,590 kes jangkitan baru disahkan di China menjadikan keseluruhan jumlah kes di China mencecah 14,380. – MalaysiaGazette