Dr. Isma Nazom Abdul Hamid mahu mencari idea dan ilmu berkaitan kerbau dengan menjelajah ke sebanyak 65 negara Asia dan Eropah.

KUALA LUMPUR – Salah satu hasratnya mahu melihat Malaysia menjadi satu-satunya negara di Asia Tenggara memiliki pusat pemulihan dan pembiakan kerbau.

Justeru ia mendorong seorang anak jati Temerloh, Pahang iaitu Dr. Isma Nazom Abdul Hamid, 54, mahu mencari idea dan ilmu berkaitan kerbau dengan menjelajah ke sebanyak 65 negara Asia dan Eropah.

“Santuari khas pembiakan kerbau itu akan menghimpunkan segala fakta dan ilmu berkaitan haiwan ternakan yang sangat sinonim dengan masyarakat Melayu di sebelah Asia Tenggara.

“Santuari yang ditubuhkan itu nanti mampu menghasilkan ribuan kilogram daging yang menjadi sumber protein utama rakyat sekaligus mampu menyumbang kepada keselamatan makanan ‘food security’ negara,” katanya dalam satu kenyataan di Temerloh hari ini.

Isma Nazom (tengah) bersama rakannya selepas sidang media Ekspedisi Solo Asia Tenggara dan Eropah di Temerloh, Pahang hari ini.

Menurut Isma Nazom, Pahang adalah negeri yang mempunyai bilangan kerbau paling banyak iaitu 11,983 ekor direkodkan pada tahun 2016 namun berkurangan kepada 8,780 ekor pada tahun 2019.

Ketika ini Malaysia mengimport daging kerbau dari India dengan nilai RM1.5 bilion setahun, katanya.

Mengenai ekspedisinya, beliau dijangka merentasi laluan sepanjang 350,000 kilometer dalam masa satu tahun.

Ekspedisi Solo Asia dan Eropah itu akan dilakukan dengan pacuan empat roda dan beliau akan bergerak secara solo.

Ekspedisi solo itu, katanya bukan misi pelancongan biasa kerana ia bertujuan meraih pengalaman dan didokumenkan di dalam bentuk dokumentari, buku, video dan jurnal.

Ekspedisi itu dijangka akan bermula pada 8 Jun ini dan berakhir pada 7 Jun 2021.

Media sosial akan menjadi medium perantara antara Isma Nazom dengan seluruh rakyat Malaysia yang mana laman khas akan diwujudkan di dalam Facebook, Instagram dan Youtube selain bantuan pasukan media di tanah air.

Justeru, ekspedisi solo Asia Eropah itu memerlukan kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan dan swasta.

Selain itu beberapa syarikat korporat terkemuka juga akan terlibat dalam projek khas ini yang akan menjadi rakan penaja kepada Isma Nazom.

Bagi tujuan ini, katanya, pihaknya akan berusaha untuk bertemu dengan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sebagai anak tempatan dari negeri Pahang, Isma Nazom juga akan mengadap Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong bagi menyembah tujuan ekspedisi kepada baginda.

Ekspedisi yang sama dijangka menelan belanja sebanyak RM3 juta merangkumi perbelanjaan ekspedisi dan pembinaan santuari kerbau negara

Beliau juga merancang untuk memperkenalkan nama negara terutamanya Temerloh di mata dunia semasa ekspedisi yang sama.- MalaysiaGazette