BEIJING – China mengesahkan jangkitan baru wabak koronavirus meningkat dengan rekod harian sebanyak 2,590 kes setakat pada hari Sabtu kepada 14,000 orang.
Jumlah kematian akibat wabak koronavirus di China telah mencapai 304 pada lewat hari Sabtu, kata Suruhanjaya Kesihatan Negara China.
Kesemua kematian baru dan kebanyakan jangkitan baru pada hari Sabtu adalah dari wilayah Hubei.
Susulan peningkatan itu, kebanyakan negara kini menghalang kemasukan pelancong-pelancong dari China – kebanyakan syarikat penerbangan menggantung operasi ke China.
Malah, kebanyakan negara juga telah membawa keluar rakyat mereka, sekali gus memberi risiko kelembapan ekonomi kepada kuasa ekonomi kedua terbesar dunia itu.
Kira-kira 24 negara dan serantau pula melaporkan lebih 130 kes koronavirus tetapi tiada rekod kematian setakat ini.
Kebanyakan kes adalah mangsa yang pernah melancong ke Hubei.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak kecemasan kesihatan awam mengenai kebimbangan antarabangsa, tetapi menyatakan sekatan perdagangan dan perjalanan global tidak diperlukan pada masa ini. – MalaysiaGazette
















