Nik Mohamad Amar Abdullah

KUALA LUMPUR – Pembelian kereta mewah jenama Mercedez oleh kerajan negeri Kelantan hanyalah amalan pentadbiran dan ia tidak ada kena mengena dengan pihak istana, kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

“Mungkin Ketua Pemuda (Khairil Nizam Khirudin) silap maklumat. Sebenarnya tidak ada arahan, istana pun tidak ada arahan (beli jenama Mercedez) cuma amalan pentadbiran. Semua negeri macam itu, apabila selepas lima tahun, kerajaan negeri boleh tukar kenderaan rasmi.

“Isu Mercedeez itu bagi saya tidak ada apa, sebab pembelian kereta ini pada zaman Datuk Seri Nik Abdul Aziz lagi memang kita guna Mercedez. Saya bermula (jadi exco) pada 2004 memang pakai Mercedez,” katanya ketikda ditemui MalaysiaGazette.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda Pas, Khairil Nizam Khirudin bahawa  pihaknya mendapat maklumat bahawa hanya kenderaan mewah berjenama Mercedez-Benz sahaja yang dibenarkan untuk digunakan oleh menteri besar dan barisan exco kerajaan negeri Kelantan.

“Di Kelantan, itu sahaja kereta yang dibenarkan (digunakan). Kalau Menteri Besar dia pegang pengerusi kepada mana-mana GLC sekalipun mereka tidak dibenarkan untuk memakai kereta tersebut.

“Hanya Mercedes sahaja yang boleh digunakan dalam progam istana yang dimaklumkan kepada saya,” katanya dalam sidang media semalam.

Menurut Mohd Amar, dalam pentadbiran kerajaan negeri Kelantan ada peraturan di mana kereta rasmi kerajaan boleh ditukar dalam tempoh lima hingga tujuh tahun, justeru dakwaan wujud arahan istana adalah tidak benar sama sekali.

“Bukan arahan (daripada pihak istana), dalam pentadbiran kerajaan negeri (Kelantan) ada peraturan. Kita boleh tukar kereta rasmi kerajaan dalam tempoh lima hingga tujuh tahun.

“Kita di Kelantan tunggu 10 hingga 12 tahun baru tukar kereta baru. Maknanya lebih daripada tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Ditanya mengenai bonus RM50,000 kepada exco kerajaan negeri, Mohd Amar berkata ia adalah peruntukan khas kepada semua exco yang telah diputuskan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Yaacob.

Malah katanya, peruntukan itu bagi menampung peruntukan exco yang habis sejak November lalu.

“Menteri Besar buat keputusan diberikan peruntukan khas RM50,000 seorang dan dimasukkan dalam akuan peribadi supaya mudah dikeluarkan dan kalau masuk akaun biasa, ada prosedurnya dan mungkin sampai dua tiga bulan baru boleh keluarkan.

“RM400 juta sampai hari ini tidak usik, jangan bimbanglah. Kita ada lebihan RM45 juta,” katanya lagi. -MalaysiaGazette