PPSMI mengundang pelbagai reaksi di kalangan rakyat baik di bandar mahupun desa.
Mereka yang mendukung idea ini merasakan bahawa mengajar dua mata pelajaran penting iaitu sains dan matematik dalam bahasa Inggeris mampu membawa perubahan drastik dalam membina kompetensi pelajar dalam penerokaan ilmu dan akhirnya membawa kepada daya saing tinggi dalam dunia kerjaya mereka malahan daya saing negara di masa hadapan.
Buat mereka yang menetang idea ini pada dasarnya terbahagi kepada dua kelompok.
Pertama yang menentang kerana merasakan bahasa Melayu harus diangkat dan dimartabat sebagai bahasa ilmu dalam pengajaran dan pembelajaran dua subjek penting ini. Mereka amat dukacita dan marah apabila bahasa Melayu diragui kemampuannya sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan khususnya untuk mata pelajaran sains dan matematik di negara ini.
Kedua yang menentang adalah mereka yang bimbangkan nasib anak-anak Melayu khususnya yang tinggal di luar bandar dan dalam kalangan miskin bandar bakal tercicir dalam pelajaran mereka.
Dengan kata lain, sentimen atau kebimbangan ini yang tidak diurus dengan baik telah menyebabkan PPSMI menjadi isu besar dalam kalangan masyarakat khususnya orang Melayu dan bangsa- bangsa lain amnya.
Mengapa sains dan matematik?
Hujah utama untuk melaksana PPSMI adalah kerana dua ilmu ini datang ke negara ini menggunakan perantara bahasa Inggeris.
Hujah tersebut tidak dapat diterima oleh mereka yang menentang PPSMI. Pada asasnya ada kebenarannya iaitu tiada bukti kukuh menunjukkan mereka yang belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu menjadi kurang bijak, berilmu mahupun kompetitif.
Tambahan pula, amat jelas negara-negara yang mengajar sains dan matematik dalam bahasa ibunda mereka contohnya Jepun, Jerman, Korea Selatan dan negara-negara Scandinavia berjaya menjadi negara yang maju dan kompetitif.
Dengan kata lain, jika isunya untuk menjadikan sains dan matematik pemangkin kemajuan negara, maka kaedah pengajaran yang lebih menarik dan praktikal perlu dibangunkan untuk dua mata pelajaran ini malahan mata pelajaran lain juga.
Gembeling guru-guru dan bekas-bekas guru yang berpengalaman untuk membangunkan kurikulum mata pelajaran berkaitan.
Malaysia mempunyai kelompok guru-guru dan bekas guru yang hebat. Cari mereka ini, beri segala sokongan, pasti mereka boleh membangunkan kurikulum yang hebat.
Jika kelemahan bahasa Inggeris yang ingin diatasi maka bangunkanlah kurikulum pembelajaran yang menarik untuknya dan pastinya bukan menggunakan sains dan matematik untuk meningkatkannya.
Dengan kata lain, keputusan pelaksanaan PPSMI perlu ditangguhkan.
Prof. Dr. Haim Hilman
















