Dr Mujahid Yusuf

PUTRAJAYA – Tindakan usahawan kosmetik, Nur Sajat Kamaruz Zaman atau lebih dikenali Nur Sajat yang bertelekung semasa menunaikan umrah memberi imej buruk kepada agama dan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa kesal dengan kelakuan itu dan menunggu laporan lanjut mengenainya.

“Sudah tentu kita rasa kesal dia telah menjejaskan imej Islam. Sebagai seorang dalam IC (kad pengenalan) lelaki dan lelaki secara biologinya, pergi Mekah naik flight elok pakai lelaki dan sampai Mekah pakai telekung macam wanita dan pergerakan, tempat sembahyangnya tempat wanita dan menimbulkan rasa tak selesa.

“Saya terima aduan jemaah sendiri, dia (Sajat) sudah ceroboh ruang wanita. Ini sangat menjejaskan imej islam dan saya kesal dengan perbuatannya. Saya masih menunggu laporan yang berkaitan kerana beliau masih berada di Mekah.

“Saya juga akan mendapat maklumat yang lebih lanjut tentang agensi pelancongan yang bawa dia ke sana.

“Ini adalah satu perkara yang sangat kita kesal kerana pihak agensi ubi sepatutnya sudah bersedia bahawa dia adalah individu yang kontroversi,” katanya kepada media selepas selepas menghadiri town hall Maqasid Syariah di Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini.

Usahawan kosmetik itu sekali lagi mencetuskan kontroversi baru-baru ini apabila tampil dengan pakaian wanita dengan bertelekung di Mekah ketika ibadah umrah.

Justeru itu, Mujahid akan memanggil agensi pelancongan yang membawa Sajat dan keluarganya.

Ditanya apa bentuk tindakan yang boleh dikenakan terhadap Sajat, Mujahid berkata, pihaknya memerlukan maklumat yang lebih lanjut dan akan mengambil tindakan wajarnya kerana melibatkan hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi.

“Perbuatan dia itu buat di Saudi dan tidak di Malaysia, mungkin kita boleh tengok dari segi dia muatnaik gambar itu dalam Instagram dan Facebook dan di situ kita boleh ambil tindakan sebab menimbulkan sensetiviti dan kemarahan orang.

“Kita akan lihat daripada itu. Itu bukan kuasa saya dan ia dalam bidang SKMM (Suruhanjaya Komunikasi Multi Media),” katanya.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu turut menasihatkan Sajat agar berhenti membuat sebarang kontroversi dan kembali kepada fitrah beliau yang merupakan seorang lelaki.

“Dia kena berhenti sebab dalam realiti, dia menimbulkan pelbagai isu dan dipamerkan dalam sosial media. Seolah dia berada tidak bersalah dan ini lebih memberatkan lagi isu ini.

“Orang ramai marah dan saya merasa kesal dan apa tindakan seterusnya. Saya mengatakan saya perlu maklumat yang lebih lanjut sebagai menteri. Daripada tindakan kita perlu alternatif dari segi undang,” katanya lagi.

Semalam, agensi pelancongan Albayt Travel Sdn Bhd yang membawa Sajat mengerjakan umrah mendakwa usahawan kontroversi itu berpakaian lelaki semasa proses perlepasan di lapangan terbang.

Kemudiannya beliau ‘bertukar’ identiti menjadi ‘wanita’ semula sebaik sahaja sampai ke Tanah Suci. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sajat tukar identiti bila sampai Tanah Suci