Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 25 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menangguhkan prosiding kes pertuduhan rasuah ratus ribu ringgit terhadap Datin Seri Rosmah Mansor berikutan masalah kesihatan yang dihadapi isteri bekas perdana menteri itu pada hari pertama perbicaraan hari ini.

Kes tersebut ditangguhkan Rabu.

Hakim Mohamed Zaini berkata, walaupun berhadapan dengan masalah kesihatan, isteri bekas perdana menteri itu masih boleh hadir perbicaraan menggunakan kerusi roda.

Selain itu, katanya, pada bila-bila masa (semasa perbicaraan) jika Rosmah berasa sakit, maka prosiding boleh ditangguhkan seketika.

“Saya boleh tangguhkan prosiding hari ini dan esok supaya anak guam kamu boleh mendapatkan rawatan yang sewajarnya tetapi perbicaraan ini akan bersambung pada 10 pagi Rabu ini.

“Saya juga tidak kisah sekiranya anak guam kamu hadir dengan kerusi roda seandainya bangku mahkamah ini boleh menyebabkan sakit badannya bertambah teruk, dan pada bila-bila boleh ‘stand down’ jika beliau tidak sihat ketika berlangsungnya perbicaraan,” katanya.

Rosmah ketika ini berdepan tiga pertuduhan rasuah mencecah ratusan juta ringgit melibatkan projek solar hibrid untuk membekalkan kuasa elektrik kepada 369 buah sekolah di pedalaman Sarawak.

Beliau didakwa bersubahat untuk menerima rasuah RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantunya, Rizal Mansor.

Terdahulu pasukan pendakwa diketuai Gopal Sri Ram menolak laporan kesihatan yang diserahkan oleh peguam Rosmah kerana isteri bekas perdana menteri itu tidak dapat hadir hari pertama perbicaraan. – MalaysiaGazette