Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bercakap pada sidang media berkenaan isu situasi terkini jangkitan 2019 Novel Coronavirus (2019-nCoV) di Malaysia bertempat di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 03 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia yang akan dibawa balik dari Wuhan berikutan penularan virus koronavirus akan dikuarantin selama 14 hari setibanya mefreka di tanah air.

Kuarantin juga akan dikenakan kepada pegawai Kementerian Luar, wakil Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan 12 krew penerbangan yang terbabit dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana yang dilakukan pada hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, waris mereka tidak dibenarkan melawat sehingga kesemuanya disahkan tidak mempunyai gejala dan negatif Koronavirus.

“Mereka hanya akan dibenarkan pulang selepas disahkan sihat dan negatif koronavirus selepas keputusan diketahui tetapi selepas tempoh 14 hari. Saya yakin belum ada yang boleh buat lawatan atau sebagainya dalam tempoh itu.

“Saya sendiri sudah melihatnya (pusat pemantauan), tempat itu sangat baik,” katanya tanpa menyatakan lokasi pusat kuarantin itu pada sidang media perkembangan harian Koronavirus hari ini.

Sementara itu, Dzulkefly memberitahu, misi membawa balik 141 rakyat Malaysia akan melalui 4 fasa iaitu sebelum berlepas dari Wuhan, semasa misi membawa pulang, ketibaan di tanah air dan kemasukan semua individu ke Pusat Pemantauan.

Jelasnya, semua rakyat Malaysia yang berada di Wuhan terlebih dahulu akan melalui proses saringan kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Wihan Tianhe oleh kakitangan kesihatan negara itu.

Katanya, mereka menunjukkan gejala dijangkiti Koronavirus tidak akan dibawa balik, sebaliknya akan terus dirawat di China dan bagi warga Malaysia yang dibenarkan pulang, mereka akan dipantau sebaik sahaja memasuki ke pesawat AirAsia sehingga tiba di tanah air.

Tambah beliau, sekiranya penumpang menunjukkan gejala awal Koronavirus, mereka akan diasingkan dalam satu zon khas pesawat.

Setibanya di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), kata Dzulkefly, kesemua penumpang termasuk yang terlibat dalam misi itu akan dibawa ke Unit Kecemasan Udara (ADU) dengan menggunakan bas khas bagi membolehkan proses kontiminasi  dan saringan kesihatan dilakukan sebelum dihantar ke Pusat Pemantauan.

Penumpang yang mempunyai gejala Koronavirus akan dibawa ke Hospital Sungai Buloh atau Hospital Kuala Lumpur.

“Sekali lagi mereka akan melalui saringan kesihatan dan di sini saya nak tekankan mereka akan melalui entry screening.

“Hazmat (Pasukan Unit Bahan Berbahaya), bomba dan KKM  bersama dalam melakukan perkara in,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dzulkefly memaklumkan tiada pertambahan kes positif Koronavirus pada hari ini.

Beliau menyifatkan situasi itu positif dan berharap lapan kes virus itu pulih dengan segera. – MalaysiaGazette