Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah untuk perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak perempuan mereka, Nooryana Najwa memeriksa barang-barang milik mereka yang disita pada Mei 2018.

Barang-barang yang disita itu dikaitkan dengan skandal penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan ketika membacakan keputusannya hari ini berkata, adalah adil seandainya permohonan yang telah dibuat oleh keluarga Najib untuk memeriksa barang sitaan itu kerana mendakwa kebanyakan daripada item adalah hadiah daripada pelbagai pihak.

Malah kata beliau, kebimbangan pihak berkuasa tentang aspek keselamatan juga dapat diselesaikan dengan cara pemeriksaan barangan itu dapat dilakukan di bawah kawalan pihak berwajib pada masa sama.

“Saya juga tidak dapat ‘memahami’ bagaimana dengan membawa keluar barangan sitaan ini boleh menyebabkan sebarang kemerosotan harga barang-barang itu.

“Keadilan perlu diberikan kepada pemohon supaya dapat memeriksa barangan mereka yang telah di sita itu bagi tujuan membela kes mereka. Saya membenarkan permohonan pemohon-pemohon ini untuk memeriksa barangan mereka sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Zaini juga memberikan syarat bagi membenarkan Najib sekeluarga memeriksa barangan sitaan berkenaan.

“Antaranya, pemeriksaan hanya akan dijalankan di premis ditentukan oleh pasukan pendakwa selain barangan itu akan dipamerkan di bawah pemantauan. Ini juga perlu dilakukan dalam tempoh dua minggu dari sekarang,” ujarnya.

Mohamed Zaini menambah keputusan hanya akan dibuat sama ada barangan itu di kembalikan atau milik kerajaan hanya akan dibuat sejurus selepas hujah kedua-dua bela dan pendakwa kelak.

Hakim juga menetapkan tarikh sebelum 2 Mac kepada pihak pemohon untuk memfailkan sebarang affidavit berhubung pemeriksaan ini dalam tempoh tersebut.

Peguambela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kemudian bangun memohon kebenaran supaya responden juga dibenarkan ditemani oleh seorang peguam dan seorang dari pasukan pendakwa.

Mohamed Zaini juga membenarkan permohonan itu.

Sebelum ini, Najib telah memohon perintah mahkamah untuk memeriksa sendiri barangan sitaan yang antaranya jam tangan, beg tangan serta wang tunai termasuk mata wang asing dirampas di kediaman keluarganya.

Selain Najib, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak perempuannya Nooryana Najwa turut memfailkan permohonan pemeriksaan fizikal pada 19 Julai tahun lalu berhubung sitaan yang sama.

Masing-masing memohon untuk memeriksa barangan dirampas bagi membantu pasukan peguam menyediakan pembelaan terhadap saman pelucuthakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Barangan itu termasuk beg tangan bernilai RM3.9 juta dan jam tangan bernilai RM6.1 juta.

Sebelum ini, notis dikeluarkan bagi membolehkan pihak berkepentingan hadir ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan dan memberikan alasan mengapa harta terbabit tidak sepatutnya dilucut hak kepada kerajaan. – MalaysiaGazette

Apa yang kamu bimbang sangat Najib periksa sendiri barangan sita?

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast