Pesawat AK8264 yang digunakan untuk memawa pulang seramai 141 rakyat Malaysia yang terkandas di Wilayah Wuhan, di China. Foto: ihsan NADMA

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini menghantar pasukan untuk membawa pulang 141 rakyat Malaysia yang terkandas di Wilayah Wuhan, China.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memaklumkan, pesawat AirAsia, penerbangan AK8264, digunakan bagi tujuan tersebut.

Katanya, seramai 12 krew dengan lapan petugas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA2) ke Wuhan pukul 3.50 petang tadi membawa bersama 500,000 pasang sarung tangan getah sebagai sumbangan kepada Kerajaan China dalam operasi membanteras penularan wabak Coronavirus 2019-nCoV di negara itu.

“Semua 141 penumpang ini akan melalui tapisan kesihatan mengikut ketetapan pihak penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe, Wuhan sebelum dibenarkan memasuki pesawat untuk berlepas balik ke Malaysia.

“Tempoh masa yang diambil untuk tapisan kesihatan, proses imigrasi dan kebenaran berlepas tidak dapat dipastikan buat masa ini,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Menurut Wan Azizah, kesemua rakyat Malaysia termasuk krew yang dihantar ke wilayah itu akan melalui tapisan kesihatan di Air Disaster Unit (ADU), KLIA sejurus ketibaan mereka di Malaysia nanti.

Ujarnya, bagi mereka yang dikesan mempunyai simtom akan dihantar ke hospital manakala, yang melepasi saringan akan dibawa terus menaiki bas ke Pusat Pemantauan yang telah ditetapkan untuk tujuan pemantauan bagi tempoh 14 hari.

“NADMA akan berhubung keluarga mereka untuk memaklumkan urusan penerbangan pulang dan memberi penerangan berkaitan proses kuarantin yang perlu dilalui ahli keluarga mereka sepanjang 14 hari,” tambahnya. – MalaysiaGazette