Ketua Pendakwaraya, Datuk Seri Gopal Sri Ram hadir bagi perbicaraan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar Sarawak melibatkan bekas Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan kes perbicaraan rasuah Datin Seri Rosmah Mansor kecewa dan mendakwa isteri bekas perdana menteri itu menggunakan laporan kesihatan sebagai alasan untuk tidak hadir prosiding pada saat-saat akhir sebentar tadi.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang sepatutnya membacakan kenyataan pembukaan kes hari ini juga berkali-kali menyatakan tindakan itu sebenarnya seolah-olah mengelak daripada menghadiri perbicaraan.

Malah kata bekas Ketua Hakim Mahkamah Sesyen itu, Rosmah patut ditangkap dan dipenjarakan supaya insiden tidak hadir ke mahkamah dengan memberikan ‘alasan’ seperti itu tidak berlaku.

“Ini sesuatu yang tidak boleh diterima langsung. Diagnosis yang tertulis dalam laporan doktor itu seperti pening-pening dan sakit anggota badan sebenarnya antara sakit yang saya hadapi juga,

“Bagi saya apa yang dihadapi olehnya tidak lebih daripada sakit terlalu banyak publisiti serta kekayaan, itu sahaja,” hujahnya dengan suara tinggi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan sebentar tadi.

Rosmah yang sepatutnya menghadiri hari pertama prosiding sebentar tadi telah menghantar surat sakit kepada pasukan pendakwa dan hakim berikutan mengalami cervical spondylodis dan osteoporosis selain masalah kesihatan lain.

Sijil sakit itu juga telah dikeluarkan dan disahkan doktor pada tarikh 2 Februari iaitu semalam.

Bagaimanapun sijil sakit itu dipertikaikan oleh Gopal Sri Raam sambil berterusan membuat tuduhan terhadap tertuduh sehingga menyebabkan peguam belanya, Datuk Jagjit Singh seolah-olah hilang sabar.

Kata beliau, memang realitinya anak guamnya menghadapi masalah kesihatan kronik sehingga menyebabkan beliau tidak dapat menghadirkan diri pada hari pertama perbicaraan tanpa sebarang agenda tersembunyi.

“Sebenarnya kata-kata pendakwa raya melampau dan rasanya aneh sekali apabila beliau bercakap tentang keikhlasan dan ketelusan.

“Jika begitu, saya juga hendak tanya apakah yang terjadi kepada Datuk Rizal Mansor yang sepatutnya dibicarakan bersama-sama sebelum pada saat-saat akhir tiba-tiba sudah gugur kesnya? Apakah maksud keikhlasan itu?

“Saya sudah cakap, anak guam saya tidak dapat hadir kerana sememangnya menghadapi masalah kesihatan,” tegasnya.

Rosmah ketika ini berdepan tiga pertuduhan rasuah mencecah ratusan juta ringgit melibatkan projek solar hibrid untuk membekalkan kuasa elektrik kepada 369 buah sekolah di pedalaman Sarawak.

Beliau didakwa bersubahat untuk menerima rasuah RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantunya, Rizal Mansor.

Mahkamah ditangguhkan sehingga Rabu ini. –MalaysiaGazette

 

2 Komen

Comments are closed.