Petugas Utusan Malaysia membawa keluar barangan dari pejabat berikutan notis arahan penutupan bangunan Pejabat Utusan Malaysia, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 09 OKTOBER 2019

ANALISIS saya mendapati wujudnya tekanan pihak tertentu terhadap kewartawanan media dan akhbar berbahasa Melayu telah berjaya yang mengakibatkan penutupan serta merta industri akhbar seperti Utusan Melayu, pengecilan operasi kumpulan Mediaprima Berhad khususnya Berita Harian, Metro dan TV3.

Apa yang berlaku, masyarakat dimomokkan dengan penutupan dan pengecilan itu hanya berpunca daripada tekanan industri semata-mata seperti kurangnya iklan sejak penamatan langganan oleh agensi kerajaan serta kurangnya orang mengiklan di akhbar tradisional berkenaan.

Orang ramai dan agensi dikatakan mula beralih ke platform media sosial dan portal online untuk mengiklan serta memperoleh maklumat dan berita terkini.

Hakikatnya wujud faktor lain yang menyebabkan kira-kira 2,000 pekerja dan profesional media semua bahagian diberhentikan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Tekanan industri ini turut dirasai akhbar Cina dan Inggeris tetapi mereka memilih strategi mengekalkan pekerja bawahan dan memberhentikan pekerja atasan yang bergaji lebih besar.

Dengan mengekalkan pekerja bawahan seperti wartawan, jurufoto, juruvideo, penyunting dan teknikal percetakan bergabung dibawah satu bumbung, mereka masih boleh kekal relevan sehingga ke hari ini.

Contohnya, akhbar berbahasa Cina tidak mahu kehilangan kepakaran dengan membuang staf bawahan yang merupakan nadi penting untuk kesinambungan syarikat.

Sekaligus penyiaran agenda dan tuntutan kaum mereka boleh dilakukan secara konsisten dan berterusan.

Dalam pada itu, akhbar berbahasa Cina juga masih mendapat sokongan dari pengiklan-pengiklan syarikat besar berbanding dengan akhbar berbahasa Melayu yang menerima nasihat dari “tikus tikus pembaiki labu” . konsultan cerdik ini secara teratur menyuruh pembuangan pekerja bawahan dan pertengahan kononnya demi survival.

Pengecilan saiz operasi akhbar berbahasa Melayu ibarat memotong kaki kemudian tangan dan lama kelamaan jasad akan mati perlahan-lahan.

Ada segelintir golongan pemikir melihat semua ini adalah perancangan rapi melumpuhkan akhbar-akhbar yang pro Melayu.

Apa pentingnya akhbar berbahasa Melayu?

Sukacita diingatkan pencetus semangat Nasionalisme dimulakan dengan penerbitan akhbar Imam, akhbar Pengasuh sejak awal kurun ke-20 oleh ulama Melayu dan disitulah bermulanya kewartawanan Melayu yang lama kelamaan diperkuatkan dengan latihan etika, teknologi dan sebagainya.

Pada masa itu untuk mencetak akhbar memerlukan modal besar dan peringkat awal teknologi percetakan hanya diperolehi dari China kemudian mesin moden dari German.

Selepas lebih 100 tahun penerbitan akhbar Jawi itu telah berjaya mengumpul dan menyebar luas agenda-agenda membina bangsa dan negara.

Akhbar Melayu itu tidak pernah menyiarkan apa-apa  bahan yang rasis jika ada tentunya telah lama ia ditutup oleh pihak British dan selepas itu baharulah wujud Utusan Melayu.

Berbalik ke tahun 2020, negara telah pun mencapai kemerdekaan tetapi pihak tertentu cuba menghakis keharmonian kaum yang telah pun wujud dengan mempertikai perkara ketuanan Melayu, hak-hak bumiputera dan Raja-raja Melayu . Mereka secara tersusunnya mewujudkan tekanan industri yang jelas melumpuhkan dua platform utama akhbar berbahasa Melayu, malah dikatakan sebuah lagi akhbar berbahasa Melayu menerima kesan yang sama.

Apa kepentingan wartawan Melayu, jurufoto, juruvideo Melayu?

Mereka inilah jambatan yang menyampaikan buah fikiran pemimpin Melayu dan menyebarkan mesej kepada orang Melayu agar generasi yang lahir pada setiap tahun mampu menerima ketetapan negara ini yang terdiri berbilang kaum dan meraikan perbezaan pendapat serta perayaan dalam aman dan damai.

Apa buktinya?

Pengamal media wartawan dan jurufoto Melayu dengan kebijaksanaan editor Melayu telah menyiarkan cara-cara orang Melayu meraikan hari raya iaitu balik kampung berkunjung ke rumah saudara-mara dan berkongsi makanan serta menjaga institusi kekeluargaan.

Pada awal 80 an kaum Cina, India dan Sikh meraikan perayaan Tahun Baru Cina atau Deepavali hanyalah di dalam rumah masing-masing sahaja.

Tetapi dengan sumbangan publisiti akhbar berbahasa Melayu ini, konsep rumah terbuka Aidilfitri, rumah terbuka Tahun Baru Cina dan Deepavali diterima pakai bagi menyatukan pelbagai kaum setiap kali musim perayaan.

Idea positif nilai perayaan Aidilfitri telah mula difahami dan diterima sehingga hari ini syarikat- syarikat besar menganjurkan rumah terbuka serta turut menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan pada acara berkenaan.

Acara Yee Sang juga diberi publisiti meluas oleh akhbar Melayu dan diberi ruang foto serta berita yang disertai juga orang Melayu dalam suasana penuh muhibah.

Acara Yee Sang pada sambutan Tahun Baru Cina tidak wujud Negara China , ia dicipta dan diamalkan di Malaysia dan diraikan oleh semua kaum, malah menjadi ‘ trending’ apabila acara ini diikuti di negara lain pula.

Di Malaysia juga, perayaan Thaipussam telah diberi publisti oleh media-media termasuk media berbahasa Melayu, akhirnya kesan publisiti meluas pihak kaum India telah memohon membolehkan hari itu diisytihar sebagai cuti umum .

Malaysia telah bertoleransi dalam perkara ini, walhal jika dirujuk perayaan Thaipussam yang melibatkan membawa kavadi, menikam, mencucuk anggota badan telah ditegah dan dilarang di negara India sendiri. Thaipussam tidak disambut orang kaum India beragama Hindu di New Delhi.

Anehnya, masih ada suara keluh kesah mengatakan orang Melayu rasis? Sedangkan dua contoh ini membuktikan perkara yang tidak pernah wujud di negara asal China dan India kini wujud dan berkembang subur di negara ini.

Maka siapa sebenarnya yang mendakwa Malaysia menghakis budaya serta kebebasan kaum bukan Melayu dalam meraikan perayaan mereka?

Akhbar berbahasa Melayu bukan bersifat cauvanis atau rasis sejak awal dulu namun unsur subversif komunis telah mempergunakan kesatuan pekerja ( Partai Buruh Malaya) untuk mencetuskan ketidakpuasan hati terhadap pemerintahan Melayu.

Mereka menyampaikan buah fikiran parti politik PAP ( Singapura kemudian berpecah kepada cawangannya DAP Malaysia).

Golongan Cina ‘Wah Khee’ dan “Hu Meng Wee” adalah golongan perantau Cina yang meneruskan kehidupan di luar Tanah Besar Cina iaitu di Asia Tenggara.

Satu daripada golongan ini yang bersusur galur dari Dinasti Ming amat menjaga adat istiadat Cina dan cara hidup golongan ini bagaimanapun mampu bertolak ansur dengan masyarakat Melayu dan menerima ketuanan Melayu.

Contohnya masyarakat Cina di Kelantan yang fasih bertutur bahasa Kelantan dan bahasa Terengganu selain mengenakan kebaya dan kain pelikat berasimilasi dalam masyarakat Melayu. Indah dan unik bukan?

Kedua golongan tadi (Wah Khee) dan Hu Meng Wee) bagaimanapun mulai diserap oleh anasir komunis yang ingin mempergunakan golongan ini untuk mendapat perhatian kerajaan Tanah Besar China agar mendapat dana atau peluang yang mendatangkan laba.

Mereka memerlukan suatu tunggangan untuk menarik perhatian pemerintah China kononnya orang Cina di negara ini ditindas dan dinafikan hak.

Melihat perkembangan itu, akhbar dan media berbahasa Melayu memberi publisiti meluas mengenai bukti Persekutuan Tanah Melayu melalui Raja-raja Melayunya telah memberikan keistimewaan Cina dan India bagi memastikan keharmonian antara kaum mampu dikekalkan, malangnya usaha itu tidak dilihat daripada akhbar-akhbar kaum lain.

Contoh keistimewaan seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil yang tidak wujud di Indonesia, Singapura, Bruneri, Filipina, Thailand dan lain-lain tetapi dibenarkan di negara kita.

Tidak wujud sekolah Tamil dan Cina mana mana negata di dunia ini melainkan hanya Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia) yang dijamin dan di benarkan oleh pemerintah.

Dalam bidang perniagaan pula, peluang diberi seluasnya dan kini dimonopoli oleh masyarakat Cina sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi dan buktinya sehingga kini banyak bandar besar seperti Melaka, Pulau Pinang masih menggunakan tulisan Cina termasuk penerbitan akhbar dan majalah berbahasa Cina.

Berbanding di Indonesia, Brunei dan Thailand mengharamkan semua tulisan Cina.

Malah Parti Komunis Malaya (PKM) yang mengambil keputusan menerima pengampunan dan tinggal di wilayah Thailand tidak diberi peluang menggunakan tulisan Cina di premis mereka.

Bagaimanapun pihak anasir subversif ini masih tegar dan memahirkan diri menggunakan kemajuan internet menyampaikan buah fikiran negatif yang mencetuskan rasa tidak puas hati di antara tiga kaum ini.

Antara isu yang diserang puak subversif ini adalah tulisan Jawi, isu Sekolah Kebangsaan Jenis Cina tidak dapat bantuan kerajaan dan kononnya isu kuota bumiputera dalam perniagaan selain isu sistem pelajaran mereka kononnya diancam.

Mereka terlupa dan sengaja memejamkan mata bahawa kerajaan telah membenarkan penubuhan Universiti Tun Razak  Kuala Lumpur untuk Cina. Mereka semakin berani mempertikaikan polisi UiTM dan MRSM untuk Melayu.

Saya selaku wartawan apabila membuat liputan konvokesyen dan majlis tamat latihan polis tentera serta lantikan guru dan lain-lain apabila diumum individu cemerlang, pihak wartawan dan jurufoto akhbar bukan Melayu ini akan mencari senarai nama kaum mereka untuk dirakam fotonya.

Saban hari orang Melayu didesak untuk melonggarkan pegangan dan menerima saranan kaum lain hingga tahap mengamalkan beragama. Mereka lupa agama rasmi adalah Islam dan “ supercede” perayaan agama lain.

Dalam sistem perundangan mereka juga menambah serangan dan membantah peraturan hanya peguam syariah sahaja (Islam) yang boleh mengendalikan kes di mahkamah syariah hakikatnya mahkamah syariah hanya mengendalikan isu perceraian keluarga dan tuntutan harta kaum Islam Melayu.

Golongan subversif ini mencetuskan pendapat mereka peguam sivil bukan Islam juga patut dibenarkan  mengambil kes di mahkamah yang sama kerana mereka juga mengejar yuran guaman yang lumayan dan berpendapat lubuk duit di mahkamah syariah juga patut diberikan kepada mereka.

Isu kebanjiran pendatang asing yang menggunakan MyKad palsu akan lebih berkesan jika ada kesungguhan dan kerjasama akhbar berbahasa Cina memimpin kempen menjaga kedaulatan negara Malaysia melalui penulisan dan memerangi ancaman dari luar.

Malangnya hanya akhbar berbahasa Melayu yang menjadi juara bagaimanapun segelintir rakyat bersuara di media sosial melawan dan mempertahankan negara berkaitan isu ini dianggap rasis atau boleh mendatangkan kegusaran.

Sumbangan media dan akhbar Melayu dalam pembangunan, kedaulatan undang-undang?

Jika mahu dikupas sumbangan wartawan dan akhbar Melayu terlalu banyak yang boleh disenaraikan di mana hasilkan rakyat menikmati keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan dibawahnya.

Daripada sekecil-kecil isu didedahkan untuk mendapat impak dan penyelesaian kepada sebesar-besar isu didedahkan untuk memperoleh perubahan dinikmati rakyat dan negara.

Mengambil contoh laporan yang pernah saya tulis mengenai serangan botnet, ancaman siber serta pertahanan siber negara yang lemah pada 2016 telah membuka mata kerajaan untuk mewujudkan Mahkamah Siber pertama dalam negara sebagai langkah meningkatkan pencegahan serangan siber dari dalam dan luar.

Begitu juga laporan mengenai gerakan militan Jemaah Islamiah di universiti awam pada 2001 membawa kepada perubahan landskap negara di mana akta universiti diperkasakan dan Polis Diraja Malaysia mewujudkan unit anti keganasan pertama negara di mana langkah pencegahan segala unsur militan dan subversif diambil, kegiatan IS, Hamas, pro Abu Sayyaf dan LTTE berjaya dilumpuhkan peringkat awal.

Kesan penutupan dan pengecilan operasi media Melayu

Menumbangkan media Melayu dipercayai adalah satu strategi terancang melumpuhkan sistem maklumat dalam negara supaya keadaan kucar kacir dan penaklukan dipercayai boleh dilakukan.

Apabila tiada lagi sistem atau akhbar berbahsa Melayu sebagai pemantau dan pemberi buah fikiran akan mudah lagi idea cauvanis, subversif atau liberal diberi publisiti serta akan di anggap sebagai pendapat majoriti.

Setakat ini kita tidak melihat kesungguhan akhbar bukan bahasa Melayu dalam memimpin pendapat memerangi pengkhianat negara tidak kiralah dari segi isu militan, penjualan MyKad kepada warga asing, gerakan komunis ataupun dalam konteks memupuk keharmonian.

Sebaliknya kebanyakan akhbar berkenaan hanya bersungguh-sungguh memerangi tulisan Jawi yang hanya empat muka surat dalam buku teks sekolah sahaja?

Contoh kedua dalam isu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina beberapa tahun lalu, akhbar berbahasa Cina memberikan publisiti meluas berkaitan sebuah sekolah yang perlu berpindah, segala publisiti oleh akhbar itu seolah-olah menunjukkan kerajaan menafikan hak mereka dan menindas.

Hampir setiap hari muka hadapan akhbar terbabit mengetengahkan isu itu secara “countdown “ ke hari penutupan, wajah sedih pelajar disiarkan dengan berita sumbangan syarikat Cina sanggup menaja pengangkutan demi pelajar itu kekal bersekolah.

Namun perkara yang tidak dilaporkan ialah sebenarnya sekolah itu telah pun diberi tapak baharu dan telahpun siap pembinaannya. Ia sebagai galang ganti sekolah di tapak asal.

Hasilnya pihak kerajaan akur dan kedua sekolah ini terus dibenar beroperasi sedangkan satu sekolah baharu sudah diwujudkan sebagai gantian sekaligus menjadi bonus tambahan kepada mereka.

Pada zaman pemerintahan British, persembahan tarian singa dan naga telah diharamkan kerana di kaitkan dengan aktiviti kongsi gelap.

Namun apabila tamat permerintahan British, kumpulan aktivis kebudayaan dan pendesak kembali menuntut hak mereka mengamalkan acara itu malah diberi publisiti meluas oleh semua media ketika itu termasuk siaran televisyen RTM.

Kini persembahan tarian singa dan naga lebih giat dan dipersembahkan pada acara kerajaan dan juga di premis perniagaan untuk Tahun Baru Cina.

Kesimpulannya, kumpulan pendesak berkenaan perlu menghentikan sentimen serta menggunakan akhbar bukan bahasa Melayu untuk memenuhi agenda mereka, sebaliknya kembali kepada budaya menghormati dan menghargai segala kemudahan yang sudah dinikmati di negara ini.

Jika semua pengamal dan agensi media di negara bersolidariti dalam mempromosi keharmonian, memperjuangkan profesionalisma media, keselamatan dan kedaulatan undang-undang negara, saya yakin industri media tidak akan terjejas dek tekanan industri atau pihak-pihak tertentu.

–Penulis adalah Tokoh Wartawan Rakyat