Pelabuhan Tanjung Pelepas

KUALA LUMPUR – Jumlah dagangan Malaysia merosot sebanyak 2.5% kepada RM1.8 trilion pada tahun lalu berbanding RM1.9 trilion pada tahun sebelumnya.

Pada tahun 2019, eksport Malaysia berjumlah RM986.4 bilion dengan penurunan 1.7% berbanding tahun lepas, manakala import bernilai RM849.0 bilion (-3.5%), menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Penurunan eksport disebabkan oleh pengurangan eksport ke Hong Kong (-RM8.3 bilion), Jepun (-RM5.1 bilion), Australia (-RM5.1 bilion), Singapura (-RM3.4 bilion) dan Kesatuan Eropah (-RM2.9 bilion).

Import merosot terutamanya dari Singapura (-RM13.5 bilion), Taiwan (-RM6.5 bilion), Kesatuan Eropah (-RM5.9 bilion), Thailand (-RM4.5 bilion) dan Switzerland (-RM4.1billion).

Menurutnya, pada suku keempat 2019, eksport mencatat penurunan 3.3% tahun ke tahun kepada RM257.9 bilion.
Eksport semula bernilai RM45.9 bilion berkurangan 10.0% dan menyumbang 17.8% daripada jumlah eksport. Eksport domestik turun 1.8% kepada RM212.0 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Import juga mencatatkan penurunan sebanyak 4.0% tahun ke tahun kepada RM221.4 bilion.

Jumlah dagangan bernilai RM160.2 bilion pada Disember 2019, kenaikan sebanyak 1.9% atau RM2.9 bilion.

Ia juga mencatatkan kenaikan sebanyak RM5.1 bilion (+3.3%) berbanding November 2019.

Menurutnya, nilai lebihan dagangan adalah sebanyak RM12.6 bilion, meningkat RM1.6 bilion (+14.7%) dari tahun lalu, selain mencatatkan peningkatan sebanyak RM6.0 bilion atau 90.3% berbanding bulan sebelumnya.

Berasaskan tahun ke tahun, eksport meningkat 2.7% kepada RM86.4 bilion.

Produk utama yang dikaitkan dengan kenaikan adalah keluaran petroleum bertapis meningkat RM1.6 bilion kepada RM6.2 bilion berikutan peningkatan volum eksport (+35.3%) walaupun nilai purata seunit berkurangan 0.04%.

Minyak kelapa sawit dan hasil keluaran berasaskan minyak kelapa sawit (6.7% daripada jumlah eksport), meningkat RM1.0 bilion (+20.9%) kepada RM5.8 bilion manakala eksport minyak kelapa sawit naik RM910.7 juta berikutan peningkatan dalam volum eksport (+13.1%) dan nilai purata seunit (+18.9%).

Kayu dan hasil keluaran kayu (2.3% daripada jumlah eksport) meningkat kepada RM2.0 bilion dan getah asli naik kepada RM293.7 juta. – MalaysiaGazette