Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi mempengerusikan Mesyuarat Tourism Recovery Action Committee di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 04 FEBRUARI 2020.

PUTRAJAYA – Lesen agensi pelancongan Albayt Travel Sdn Bhd boleh dibatalkan jika mereka mengulangi kesilapan dalam mengendalikan jemaah umrah atau haji seperti mana kontroversi yang dicetuskan Muhammad Sajad Kamaruzzaman atau lebih dikenali  sebagai Sajat di Tanah Suci.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, setiap agensi pengendali umrah bertanggungjawab memastikan jantina bakal jemaah haji atau umrah supaya tidak berlaku sebarang masalah ketika mereka menunaikan ibadah tersebut.

“Kita akan hubungi, beri dia amaran, dia buat sekali lagi lesen dia kita batalkan.

“Ini bertujuan untuk semua syarikat pemegang lesen menjaga tatacara perniagan mereka termasuklah mengawal kumpulan kendalian mereka.

“Mematuhi undang-undang negara yang dilawati bagi menjaga imej negara sepanjang di luar negara dan diharap perkara sedemikian tidak berlaku lagi di masa akan datang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohamaddin ditanya tentang tindakan yang mungkin diambil oleh kementeriannya terhadap syarikat pelancongan itu.

Sebelum ini, pihak pengurusan syarikat berkenaan bertindak membuat satu laporan polis serta mengarahkan mutawif yang bertugas untuk memberi arahan kepada Sajat dan ahli kumpulannya agar segera menghentikan penyebaran imej dan juga video kontroversi ibadah umrah dalam mana-mana saluran media sosial.

Artikel berkaitan: Albayt Travel mahu Sajat minta maaf secara terbuka

Malah, syarikat itu turut menasihatkan agar Sajat membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap kejadian yang berlaku.

Sementara itu dalam perkembangan sama Mohamaddin berkata, langkah itu diambil bagi memastikan agar syarikat pengendali pelancongan lebih teliti ketika menguruskan pelanggannya.

“Saya fikir mereka perlu lebih teliti sedikit untuk mengenali lelaki atau perempuan, perempuan itu perempuan ke dia atau laki-laki.

“Takkan dia tak kenal. Tetapi kalau dia kenal perempuan itu lelaki dan lelaki itu perempuan disebabkan nak bisnes bawa saja kita akan mengambil tindakan terhada travel ejen ini,” ujarnya yang turut memberitahu ia bukanlah satu perkara yang boleh dipandang ringan oleh setiap agensi pelancongan. – MalaysiaGazette