Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan berjalan keluar selepas mengadakan mesyuarat dua hala bersama pada lawatan kerjanya di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 04 FEBRUARI 2020.

PUTRAJAYA – Malaysia boleh mengambil kesempatan daripada langkah penjualan saham syarikat-syarikat Pakistan untuk meneroka pasaran baharu di negara itu.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berharap syarikat Malaysia boleh meneroka lebih jauh dalam perniagaan kejuruteraan di Pakistan selepas Proton Holdings Bhd. bertapak di negara itu dengan membina kilang pengeluaran kenderaan.

“Pakistan mempunyai populasi yang ramai iaitu hampir 200 juta orang. Kita boleh membuka kilang di negara itu atau menjalinkan usahasama dengan syarikat dari Pakistan,” katanya semasa sidang media bersama Perdana Menteri Pakistan Imran Khan di sini hari ini.

Terdahulu, Mahathir mengadakan pertemuan empat mata dengan Imran yang ketika ini berada dua hari di Malaysia bagi lawatan kerja.

Dalam pada itu, Imran yang mengalu-alukan kehadiran pelabura Malaysia berkata, negara tersebut mempunyai lokasi yang strategik bagi memasuki pasaran China.

Tambahan pula, ketika ini Pakistan sedang membina sebuah zon ekonomi khas bagi eksport ke China.

“Pakistan mempunyai lokasi yang strategik untuk memasuki pasaran China,” katanya.

Minggu lepas Menteri Persekutuan Pakistan, Omar Ayub Khan berkata, sejajar dengan langkah kerajaan negeri itu yang mahu melupuskan pegangan dalam syarikat-syarikat tempatan, ia menjemput Malaysia dan rakan-rakan strategiknya untuk turut serta.

Negara itu juga menjemput Malaysia untuk meneroka peluang dalam pembangunan infrastruktur LNG.

Pakistan turut mempelawa Malaysia untuk turut serta dalam bidaan blok-blok minyak dan gas. – MalaysiaGazette