Ir. Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Pas, Khairil Nizam Khirudin mahu memastikan ketulenan rakaman audio Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa mahu bekerjasama dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, pihak berwajib perlu segera melakukan siasatan sama ada rakaman audio Ahmad Zahid itu tulen atau tidak.

Tambah beliau, langkah itu perlu kerana ia melibatkan kerjasama politik antara UMNO dan Pas yang kini menjalinkan hubungan menerusi Muafakat Nasional.

“Apakah audio itu tulen, (kena ada pihak yang kena) pastikan audio itu tulen (suara Ahmad Zahid).

“Pastikan ia tulen baru kita boleh komen. Apapun kita akan adakan mesyuarat Muafakat Nasional minggu depan,” katanya selepas menyerahkan memorandum menolak pelan damai kontroversi Israel-Palestin digelar Deal of the Century yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, baru-baru ini.

Memorandum itu rata-ratanya tidak bersetuju dengan apa yang dibawa oleh Trump dan juga sekutunya, Israel yang didakwa tidak memenuhi hak dan aspirasi penduduk Palestin serta merealisasikan rancangan jahat Israel untuk memperluaskan pendudukan mereka di wilayah terbabit.

Ahmad Fadhli Shaari 

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari juga berkata pihaknya tidak boleh membuat sebarang kenyataan mengenai audio yang tidak disahkan pemiliknya.

“Audio itu kena sahkan dulu, perlukan pengesahan. Kalau ikut standard SPRM. Kami tidak boleh buat komen atas audio yang tidak tahu sumber ini.

“Kena hantar SPRM dahulu (untuk siasatan),” katanya dalam acara sama, hari ini.

Rakaman suara Zahid Hamidi: UMNO-PAS akan bergabung dalam satu pakatan politik baru bersama Mahathir

Semalam, satu petikan rakaman audio sepanjang tiga minit 18 saat, yang didakwa diucapkan Ahmad Zahid ketika muncul dalam mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional UMNO.

Dalam audio itu, Ahmad Zahid didakwa menyatakan bahawa bersandarkan Muafakat Nasional, UMNO perlu mengikut tindakan Pas “supaya tidak tertinggal di belakang”.

Tindakan itu bagi menyelamatkan UMNO daripada diharamkan oleh yang yang mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. -MalaysiaGazette