Ong Chiow Chuen

PETALING JAYA – Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris atau secara dwi bahasa melalui program DLP akan menjejaskan sumber guru dan budaya di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC).

Pengerusi Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Datuk Ong Chiow Chuen berkata, jumlah kelas yang dikendalikan dalam bahasa Cina akan dikurangkan jika dasar itu dilaksanakan.

Beliau berkata, kerajaan telah melakukan dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris pada 2003, walaupun menerima bantah keras daripada pelbagai kaum.

Bantahan itu, katanya, membawa kepada pelaksanaan formula berlainan dalam pelaksanaan fasa pertama dan kedua dasar tersebut di SRJKC.

“Ia sebenarnya tidak diterima masyarakat Cina. Oleh itu dalam pelaksanaan, kami masih mengekalkan penggunaan bahasa Cina, manakala pengajaran dalam bahasa Inggeris hanya dijalankan secara simbolik.

“Kajian menunjukkan dasar bahasa Inggeris itu hanya mempunyai keberkesanan antara dua hingga tiga peratus, keadaan yang mendorong pengumuman pemansuhan dasar ini pada Julai 2009,” katanya kepada Sinchew Daily.

Beliau berkata, pelaksanaan dasar bahasa Inggeris untuk subjek Sains dan Matematik atau dasar dwi bahasa akan menyebabkan hanya dua bahagian iaitu Bahasa Cina Pemahaman dan Bahasa Cina Penulisan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diuji dalam bahasa Cina.

“Subjek lain seperi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains akan diuji dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

“Keadaan ini akan merosakkan ciri-ciri istimewa SRJKC,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung (NUTP), Harry Tan berkata, pihaknya menyokong sepenuhnya cadangan Perdana Menteri untuk melaksanakan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Katanya, cadangan itu akan membawa “perubahan yang betul dan sesuai” untuk masyarakat.

Beliau bagaimanapun berharap kerajaan melakukan kajian dan mengumpulkan input daripada guru yang terlibat dengan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sebelum melaksanakan cadangan tersebut secara sepenuhnya.