Ahli PELITAWANIS TNB bergambar kenangan selepas majlis penutup bengkel pengurusan kewangan Surihati Bijak Generasi Terdidik #DemiEsok di Kuala Lumpur pada 29 Januari, 2020.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyambut baik seruan kerajaan untuk meningkatkan tahap literasi kewangan rakyat menerusi penganjuran program pengurusan kewangan oleh Persatuan Wanita TNB (PELITAWANIS) pada minggu lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, TNB menyokong penuh usaha untuk membangunkan masyarakat yang mampu membuat
keputusan kewangan yang bijak.

“TNB komited terhadap pembangunan ekosistem rantaian operasi yang didirikan secara professional berasaskan prestasi dan merit, sekali gus mendukung kepelbagian dalam Syarikat.

“Usaha memperkasakan wanita menerusi literasi kewangan adalah satu pendekatan bagi mencapai matlamat ini, khususnya dalam jangka panjang. Oleh itu, TNB berbangga dapat
menyokong wanita dalam ekosistemnya menerusi program anjuran PELITAWANIS,” kata Amir Hamzah.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan bengkel pengurusan kewangan Surihati Bijak Generasi Terdidik #DemiEsok.

Turut hadir, Yang Dipertua PELITAWANIS TNB yang juga isteri
Amir Hamzah, Datin Seri Aidah Abu; Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Abu Hassan Alshari Yahya; Pengerusi AKPK, Anuar Mohd Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin
Ngah Tasir dan pengurusan tertinggi TNB.

Pada program dua hari yang dianjurkan TNB dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), seramai 300 ahli PELITAWANIS TNB yang terdiri daripada warga kerja wanita dan isteri warga kerja TNB memperoleh pendedahan berguna tentang pengurusan kewangan.

Dalam pada itu, Amir Hamzah menjelaskan, sebagai organisasi korporat yang memikul amanah dalam menggerakkan ekonomi negara, TNB berperanan penting menjadi pemangkin yang merapatkan jurang antara jantina (gender).

Jelas Amir, selama tujuh dekad penubuhan dan perkembangan TNB, ia telah berjaya melahirkan tenaga profesional dalam kalangan wanita menerusi Universiti Tenaga Nasional
(UNITEN) dan Yayasan Tenaga Nasional (YTN).

“Sehingga hujung tahun lalu, TNB sahaja (tidak termasuk anak syarikat) mempunyai lebih 5,500 kakitangan wanita dengan lebih 800 orang daripadanya adalah jurutera.

“Malah, TNB adalah organisasi pertama mempunyai jurutera wanita yang juga jurutera wanita tempatan pertama di negara ini,” katanya, merujuk kepada Maimunah Suleiman yang
mula bertugas di Lembaga Letrik Negara pada 1964.

Jelas Amir Hamzah, TNB yakin masih ada lagi yang boleh dilakukan bagi memastikan wanita memiliki ruang secukupnya pada peringkat kepimpinan kanan syarikat utiliti itu.

“Saya yakin bahawa wanita di TNB mampu menjadi penggerak perubahan, lebih-lebih lagi ketika berdepan dengan cabaran yang bakal diperkenalkan dalam industri bekalan elektrik Malaysia.

Sementara itu, Aidah dalam ucapan penutupnya berharap ahli PELITAWANIS dapat memanfaatkan pengetahuan yang diperolehi daripada program dua hari tersebut.

“Melalui program ini, kita dibekalkan dengan pengetahuan kewangan supaya kita mampu menguruskan simpanan dan perbelanjaan, melabur dengan bijak dan meminjam dengan
bertanggungjawab, sejajar dengan matlamat dan keadaan kewangan kita, termasuklah bagi tujuan persaraan,” katanya. – MalaysiaGazette