Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah

KUALA LUMPUR –  Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah memberitahu bukan satu kemestian untuk memberikan pinjaman melalui jaminan kerajaan kerana ia perlu perlu mengikut syarat tertentu.

Irwan yang memberi keterangan selaku saksi kepada pembelaan kes SRC International Sdn Bhd di mahkamah hari ini berkata, walaupun mempunyai jaminan kerajaan belum tentu pinjaman tersebut dapat diluluskan.

Sebaliknya kata beliau, permohonan pinjaman bagi jaminan perlu melalui beberapa proses termasuk dibincangkan dalam kabinet sebelum mendapat kelulusan seterusnya Menteri Kewangan akan mengeluarkan surat jaminan itu kepada entiti relevan.

Kebiasannya proses permohonan untuk kelulusan kabinet bagi jaminan kerajaan akan memakan masa sehingga sebulan, kata Irwan.

“Saya tidak berapa tahu tentang peruntukan atau akta tetapi biasanya mengikut amalan, (ia) perlu melalui mesyuarat kabinet terlebih dahulu.

“Prestasi syarikat akan dinilai terlebih dahulu dengan kerajaan akan mengambil kira projek yang entiti atau syarikat itu laksanakan. Keupayaan syarikat dalam membayar balik pinjaman juga akan diambilkira,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguambela, Farhan Read di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini.

Perbicaraan SRC International yang sudah masuk hari ke-76 hari ini dengan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menghadapi pertuduh menyelweng dana syarikat itu sebanyak RM42 juta.

Irwan dipanggil sebagai saksi kerana pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika jaminan kerajaan diluluskan untuk sejumlah RM4 bilion pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) untuk SRC International.

Dalam pada itu, Irwan juga memberitahu mahkamah beliau tidak terlibat dalam jaminan kerajaan berhubung pinjaman RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Inc KWAP kepada SRC International ketika itu.

Jelas beliau, dirinya hanya bertindak menandatangani memo yang berkaitan sebelum dibentangkan di kabinet, ketua setiausaha perbendaharaan ketika itu tiada untuk menandatangani memo berkenaan. –MalaysiaGazette