Program Taste of Malaysia (ToM) 2020 promosikan Program Malaysia Street 2020 di Jepun. foto MEDAC

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi serta Kedutaan Besar Malaysia di Jepun akan menganjurkan Program Malaysia Street 2020 bersempena Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 di Ariake Garden City, Tokyo mulai 8 Julai hingga 6 September 200 ini.

Program bertemakan “Malaysia in Japan for Tokyo 2020” ini menyediakan platform untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan membina dan mengukuh jenama halal Malaysia melalui penerokaan pasaran, pemasaran produk dan jaringan perniagaan dalam pasaran Jepun.

Dalam usaha mempromosikan dan meningkatkan keterlihatan Program Malaysia Street 2020, MEDAC telah menyusun dan merangka pelbagai siri program inisiatif Halal di Jepun.

Program Taste of Malaysia (ToM) 2020 merupakan program yang pertama dalam inisiatif tersebut.

Program ini telah dilaksanakan dengan kerjasama erat serta penglibatan Kedutaan Besar Malaysia di Jepun dan dirasmikan oleh Datuk Kennedy Jawan, Duta Besar Malaysia pada 31 Januari 2020 di Vision Center Hamamatsucho, Tokyo. ToM 2020 bertujuan untuk mempromosi dan memperkenalkan produk makanan Halal Malaysia seperti makanan ready-to-eat (RTE), pes, dan bahan ramuan.

ToM 2020 telah disertai oleh 13 syarikat tempatan dan lima syarikat pengimport produk Halal Malaysia di Jepun, selain turut dihadiri oleh lebih 100 wakil persatuan hotel, ejen pelancongan dan rantaian peruncitan daripada Jepun seperti Lawson Japan (rangkaian peruncit), New Otani Hotel, Hotel Metropolitan, Villa Fountain Hotel dan Grand Nikko Hotel.

Antara menu makanan yang terlibat adalah seperti laksa Sarawak, rendang, nasi lemak, asam pedas dan sebagainya.

ToM 2020 telah berjaya mencatat potensi jualan sebanyak RM930,000.00 sepanjang program berlangsung.

MEDAC berkata, pada akhir program itu Syarikat Agri Dagang Sdn. Bhd. telah berjaya menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Hotel Jesly Villa Co. Ltd bagi membekal pes masakan Malaysia kepada hotel tersebut dengan nilai sebanyak RM150,000.00.

Selari dengan Teras Strategik 6: Mengantarabangsakan Perusahaan Berpertumbuhan Tinggi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030), MEDAC menjemput semua usahawan yang mempunyai pensijilan halal untuk menyertai Program Malaysia Street 2020 dan mendaftar di portal MEDHalal, http://www.med.gov.my/MEDHalal/login.php. – MalaysiaGazette