Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir pada perbicaraan pertuduhan projek sistem solar sekolah luar bandar Sarawak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 05 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor boleh memperoleh dan menerima rasuah dari syarikat yang mendapat projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion memandangkan beliau berupaya
mempengaruhi suaminya, Datuk Seri Najib Razak.

Pendakwa Raya, Gopal Sri Ram berkata, meskipun Rosmah tidak memegang jawatan rasmi tetapi beliau boleh mempengaruhi atas sebab sikap sombongnya.

Beliau telah meletakkan dirinya dalam mempengaruhi keputusan sektor awam.

Sri Ram berkata demikian dalam penyataan pembukaan kes membabitkan Rosmah yang didakwa dengan tiga pertuduhan rasuah didakwa menerima RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta, antara 2016 dan 2017, untuk bekalan dan pemasangan tenaga solar kepada 369 sekolah luar bandar.

Beliau didakwa bersubahat untuk menerima rasuah RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantunya, Rizal Mansor.

Katanya, pihak pendakwaan akan membawa keterangan langsung dan mengikut keadaan untuk menunjukkan bahawa Rosmah meminta suapan dan menerima suapan seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan terhadapnya.

Sri Ram berkata, Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd dan pemegang saham majoriti, Saidi Abang Samsudin mahu mendapatkan kontrak daripada Kerajaan Persekutuan untuk projek hibrid solar bagi 369 buah sekolah di luar bandar Sarawak.

Saidi dan rakannya Rayyan Radzwill Abdullah, berjumpa Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, tetapi gagal.

Mereka kemudian berjumpa dengan Aazmey Abu Talib yang dikatakan rapat dengan suami tertuduh dalam usaha mendapatkan sokongan bagi mendapatkan kontrak.

Saidi dan Rayyan berjaya mendapatkan minit sokongan daripada Najib untuk projek tersebut tetapi ia tidak membantu mempercepatkan urusan mereka dengan Kementerian Pendidikan.

Sri Ram berkata, kedua-dua lelaki itu kemudian berjumpa dengan pembantu tertuduh, Rizal Mansor, yang mengatur pertemuan mereka di kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta di sini pada awal 2016.

Saidi mahukan jaminan Rosmah bahawa beliau akan membantu Jepak dan sebagai balasan Saidi menawarkan derma politik kepada suami tertuduh sebagai tanda terima kasih kerana menyokong permohonan tersebut.

“Adalah penting untuk dimaklumkan bahawa tertuduh tidak memegang sebarang tanggungjawab dalam mana-mana parti politik pada masa itu. Tertuduh tahu bahawa ‘sumbangan politik’ adalah rasuah untuknya,” katanya.

Selepas mesyuarat ini, Sri Ram berkata, Rosmah telah meningkatkan jumlah sumbangan politik kepada RM187.5 juta iaitu 15% daripada nilai projek sebanyak RM1.25 bilion.

Sri Ram menambah, tertuduh telah menggunakan Rizal bagi membuat tuntutannya dan berunding untuk rasuah.

Pada mulanya, beliau mahukan 17% daripada nilai projek atau RM200 juta tetapi atas nasihat Rizal beliau bersetuju menerima 15%, ujarnya,

Sri Ram berkata, perjanjian palsu dibuat oleh Lawrence Tee dibuat untuk pembayaran dan menyembunyikan nama penerima sebenar wang itu tetapi perjanjian itu hilang dan tiada siapa tahu siapa yang memilikinya.

Pada 20 Disember 2016, beliau berkata, Saidi menyerahkan sejumlah RM5 juta secara tunai di kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya selepas surat anugerah projek tersebut dikeluarkan kepada Jepak oleh Kementerian Pendidikan.

Kontrak tersebut telah dilaksanakan pada 20 Jun 2017 dan kementerian kemudian mengeluarkan beberapa siri pembayaran kepada Jepak.

Saidi kemudian menyerahkan wang tunai RM1.5 juta kepada tertuduh di rumah Langgak Duta di sini pada 7 September 2017.

Sri Ram berkata, bukti secara langsung dan mengikut keadaan akan membuktikan bahawa Rosmah mempunyai niat terhadap semua perkara yang dinyatakan.

“Seperti kebanyakannya, jika tidak semua kes rasuah, pihak pendakwa perlu bergantung kepada keterangan saksi-saksi untuk mengesahkannya. Di peringkat yang sesuai, pihak pendakwaan akan
menjemput mahkamah untuk mendekati keterangan saksi dengan berhati-hati. Tetapi pada akhirnya, bukti mereka akan dapat dipercayai dan disahkan dalam butir-butir material.

“Pihak pendakwaan akan dapat membuktikan bukan sahaja jenayah dilakukan tetapi tertuduh yang melakukannya,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

    • Rosmah ni memang terlampau mata duitan.
      Rosmah yang terhegeh hegeh nak kan Najib suami orang.
      Rosmah dah bagi nasi kangkang pada Najib sebab itu Najib takut dan itunduk apa Rosmah kehendaki.
      Rosmah lebih baik masuk penjara kalau tidak rakyat lagi merana.

Comments are closed.