Pemandu kenderaan termasuk penunggang dan pembonceng motosikal yang gagal mematuhi peraturan jalan raya bakal berdepan tindakan undang-undang berat dan saman maksimum tidak lama lagi daripada Polis Diraja Malaysia.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Mansor berkata, polis kini mempertimbangkan pendekatan penguatkuasaan tegas rentetan daripada Op Selamat Tahun Baru Cina 2020 selama 16 hari sehingga 2 Februari lalu yang menyaksikan angka kematian tertinggi.

Katanya, penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang angka kematian tertinggi dengan 147 kematian manakala pemandu kereta sebanyak 52 sepanjang Op Selamat.

Menurut beliau, kecuaian ketika keluar atau masuk simpang, memasuki laluan bertentangan, cuba memotong kenderaan lain atau menukar laluan, mengekori kenderaan lain terlalu rapat, membuat pusingan “U” serta, melawan aliran trafik adalah penyumbang utama kepada kemalangan maut.