Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff (kanan) diiringi Ketua Pegawai Strategik dan Ketua Saf, Hizamuddin Jamaluddin (tengah) bergambar kenangan selepas melancarkan THiJARI dan Kempen Simpan, Daftar dan Menang di Menara TH, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 05 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH)  akan mengumumkan pembayaran hibah kepada 9.4 juta pendepositnya bagi tahun kewangan 2019, tidak lama lagi.

“Tidak lama lagi, sampai masa kita akan jemput semua dan akan umumkan,” menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff.

April tahun lalu, TH mengumumkan agihan hibah 1.25 peratus membabitkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendeposit bagi tahun kewangan 2018.

Nik Mohd Hasyudeen YusoffUntuk rekod, TH telah mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM500 juta pada suku ketiga 2019, meningkatkan keuntungan untuk tempoh sembilan bulan pertama kepada RM1.3 bilion.

Dalam pada itu, TH melancarkan platform perkhidmatan digital untuk para pendeposit yang dikenali sebagai ‘THiJari’.

Ia merupakan platform dalam talian bagi perkhidmatan kepada para pendeposit untuk menyemak akaun, mencetak penyata akaun, pindahan wang dan perkhidmatan haji.

“Ini akan menyenangkan pendeposit TH, menjimatkan masa tidak payah datang ke kaunter, dan kalau hendak semak baki boleh guna platform ini.

“Kami mengesyorkan kepada pendeposit TH untuk menggunakan THiJari yang akan banyak membantu mereka di masa depan, kita akan tambah lagi fungsi-fungsi lain yang ada,” katanya lagi.

Beliau turut melancarkan Kempen Daftar, Simpan dan Menang yang membolehkan pemenang memenangi pakej umrah dan wang tunai berjumlah RM300,000.

Pendeposit hanya perlu mendepositkan sejumlah RM5,000 ke dalam akaun TH dan mengekalkan simpanan mereka sehingga Disember tahun ini bagi melayakkan mereka menyertai kempen ini. – MalaysiaGazette