Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pakar virus dari Malaysia percaya penularan novel coronavirus akan dikawal malahan reda dalam tempoh tiga bulan jika langkah-langkah pencegahan dilaksanakan dengan baik.

Selain itu, mereka juga berpendapat bahawa kemungkinan jangkitan virus melalui surat dan bungkusan dari China adalah teramat rendah.

Profesor Dr. Tan Chong Tin dari Universiti Malaya yang pernah melakukan penyelidikan memerangi virus Nipah berkata, kadar pertambahan pesakit coronavirus yang cepat dijangka berterusan untuk satu tempoh sehingga ia mencapai puncak, lalu mula menurun.

“Kes pesakit baharu yang dicatatkan masa ini besar kemungkinan telah menunjukkan tanda lebih awal, tetapi penyakit hanya dikenal pasti baru-baru ini.

“Harapannya adalah keadaan penularan akan mencapai puncak dalam tempoh sebulan, sebelum ia mulai reda,” katanya kepada China Press.

Chong Tin berkata, walaupun China memiliki sistem kesihatan awam yang dikawal ketat, tetapi kelengkapan perubatan di luar bandar tidak setanding bandar.

Keadaan itu, menurutnya, menyebabkan jangkitan menular secara berterusan.

Chong Tin berkata, berlainan dengan virus Nipah yang menjangkit melalui cecair mulut haiwan, coronavirus pula boleh dijangkiti daripada manusia.

Mengenai penularan virus melalui kiriman bungkusan, Chong Tin berkata, risikonya adalah sangat rendah dan penerima bungkusan dari China cuma perlu mencuci tangan selepas menerima bungkusan sebagai langkah berjaga-jaga.

“Setahu saya, laporan bahawa coronavirus boleh hidup selama lima hari adalah spekulasi sahaja,” katanya.

Sementara itu, pakar dari Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Chee Hui Yee memetik satu pakar dari Amerika Syarikat yang berkata bahawa penerimaan bungkusan tidak akan membawa kepada jangkitan.

Keadaan itu berlaku kerana dengan perubahan suhu dan proses penghantaran yang lama, virus adalah sukar untuk hidup.

Menurutnya Hui Yee, wabak yang merebak dari Wuhan itu boleh reda dalam tempoh tiga bulan jika langkah pencegahan dijalankan dengan baik.

“Virus seperi ini biasanya takut kepada haba dan dengan pertukaran daripada musim sejuk kepada musim bunga dan peningkatan suhu, keadaan wabak mungkin boleh dikawal,” katanya. – MalaysiaGazette