Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (dua kiri) menyaksikan Majlis Menandatangani Project Funding Agreement Yang Baharu bagi Projek Lebuhraya Pan-Borneo Sarawak turut bersama Menteri Kerja Raya, Baru Bian (dua kanan) di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 06 FEBRUARI 2020.

PUTRAJAYA- Kerajaan berjaya menjimatkan RM3.1 bilion atau kira-kira 14 peratus daripada anggaran implikasi kewangan dengan menamatkan perjanjian rakan kongsi penyampaian projek (PDP) Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ini disebabkan kerajaan tidak lagi perlu membayar yuran PDP sebanyak 5.5 peratus daripada kos pembinaan serta kos-kos lain yang bersifat bayaran balik kepada syarikat PDP.

“Selaras dengan keputusan untuk menamatkan perjanjian PDP, Kementerian Kerja Raya telah mengeluarkan notis penamatan perjanjian PDP kepada syarikat berkenaan pada 20 September 2019.

“Pelaksanaan projek Lebuh raya Pan Borneo Sarawak selepas penamatan perjanjian PDP akan dilaksanakan secara konvensional tanpa penglibatan syarikat PDP,” katanya semasa sidang media selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian Surat Penamatan Bersama yang ditanda tangani antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sarawak dan DanaInfra Nasional Bhd untuk menamatkan perjanjian Pembiayaan Projek sedia ada.

Guan Eng dan Menteri Kerja Raya, Baru Bian turut menyaksikan Perjanjian Pembiayaan Projek baharu yang ditanda tangani oleh Kerajaan Persekutuan dan DanaInfra Nasional Bhd.

Ketika ditanya sama ada kerajaan perlu membayar penalti disebabkan penamatan perjanjian tersebut, Guan Eng berkata, kerajaan telah mendapat nasihat daripada Peguam Negara dan pihak-pihak berkenaan sebelum membuat keputusan tersebut.

“Tentunya kita sudah dapat pandangan daripada pihak guaman.

“Saya agak yakin. Jika tidak, kami tidak akan membuat keputusan tersebut (menamatkan perjanjian PDP),” katanya lagi.

Manakala Baru pula berkata, terma perjanjian masih diteliti dan sebarang tindakan akan diumumkan kemudian.

“Pastinya akan ada tuntutan tetapi kami akan berbincang dan melihat secara teliti terma-terma perjanjian tersebut.

“Sekiranya, tuntutan mereka adalah sah dan mengikut undang-undang, kami akan akur,” tambahnya.

Dalam pada itu, Baru tidak menolak kemungkinan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak lewat disiapkan daripada jadual disebabkan penamatan PDP itu.

“Terdapat kemungkinan terlewat (daripada jadual) tetapi kami sedang berusaha untuk mengelakkannya,” katanya.

Projek Lebuh raya Pan Borneo Sarawak sepanjang 786.4km akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosio-ekonomi kepada Sarawak.

Manakala penjimatan yang diperolehi kerajaan itu akan digunakan untuk projek-projek infrastruktur lain demi manfaat kepada rakyat khususnya di Sarawak.- MalaysiaGazette