Anggota kumpulan pemberontak Abu Sayyaf. foto Agensi

MANILA – Angkatan tentera Filipina memburu sekumpulan lelaki bersenjata dipercayai anggota kumpulan pemberontak, Abu Sayyaf, yang menculik seorang doktor warga Filipina dari kediamannya di wilayah Sulu selatan, kata jurucakap tentera.

Sekurang-kurangnya empat lelaki yang mengenakan uniform polis dan tentera menculik mangsa, Dr. Daniel Moreno, di rumahnya yang terletak berhampiran balai polis dan dewan perbandaran Jolo di ibu negeri Sulu, pada petang Selasa lalu, kata Major Arvin John Encinas.

Lelaki-lelaki yang menculik Moreno menuju ke Indanan, bandar terpencil yang sebahagian besarnya dikuasai kumpulan Abu Sayyaf, kata Encinas seperti dipetik BenarNews.

“Kumpulan Abu Sayyaf berkemungkinan bertanggungjawab dalam penculikan ini,” kata Encinas.

Kumpulan Kerja Antara Agensi Metro Jolo merangkumi unit tentera dan polis telah melancarkan operasi bagi mencari mangsa, katanya.

Bagaimanapun tiada mana-mana kumpulan yang mendakwa bertanggungjawab ke atas penculikan itu atau meminta wang tebusan.

Encinas berkata, terdapat kemungkinan kumpulan Abu Sayyaf menciulik doktor itu bagi membolehkan dia merawat anggota kumpulan pemberontak itu yang cedera ketika mereka bertempur dengan pasukan tentera pada bulan lalu.

Sekurang-kurangnya lima anggota Kumpulan Abu Sayyaf terbunuh dan beberapa lagi mengalami kecederaan dalam dua pertempuran dengan tentera di wilayah Tawi-Tawi pada 18 dan 19 Januari lalu.

Pertempuran berlaku selepas pasukan tentera menerima maklumat mengenai sekumpulan lelaki bersenjata kelihatan di kawasan tersebut membawa lima nelayan warga Indonesia yang diculik di perairan Sabah, Malaysia.

Sebelum ini pihak tentera telah mengingatkan pengamal perubatan dan pekerja kesihatan agar berjaga-jaga kerana kumpulan Abu Sayyaf diketahui menculik para doktor bagi merawat anggotanya yang cedera. – Agensi