Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut hadir memberi sokongan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor pada perbicaraan kes rasuah projek sistem solar sekolah luar bandar Sarawak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 05 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes rasuah isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang masuk hari kedua menyaksikan keadaan ‘panas’ seketika.

Ini kerana Datuk Seri Najib Tun Razak yang hadir bagi mendengar perbicaraan isterinya diarahkan keluar selepas pasukan pendakwaan membantah kehadirannya.

Selepas beberapa minit Najib duduk di galeri bagi mengikuti prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, memaklumkan kepada mahkamah tentang kewajaran beliau hadir pada perbicaraan yang melibatkan isteri beliau.

Kata Akram, kenyataan Najib sebelum ini pernah dirakamkan sebagai sebahagian daripada siasatan oleh pihak berkuasa terhadap kes itu.

“Yang Arif, kenyataan Najib pernah dirakamkan sekaligus membolehkan beliau dipanggil sebagai saksi kelak dalam perbicaraan ini,” katanya kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Mohamed Zaini kemudian meminta Najib keluar dari bilik prosiding berkenaan.

Najib dengan wajah tenang bangkit sambil berkata ‘okay’ sebelum berlalu keluar dengan dua penyokongnya.

Sebelum ini, ketika berlangsungnya perbicaraan SRC International Sdn Bhd pada tahun lepas, Rosmah diarah keluar oleh hakim ketika prosiding sedang berjalan.

Ketika Itu, Timbalan Pendakwaraya, Datuk V. Sithambaram mempersoalkan kewajaran Rosmah berada dalam mahkamah kerana beliau merupakan seorang saksi yang berpotensi dalam kes berkenaan.

“Rosmah Mansor berada di mahkamah. Dia adalah saksi yang berpotensi. Kenyataannya  sebagai saksi telah direkodkan.

“Kami tidak mahu sebarang masalah kemudian hari,” kata Sithambaram ketika itu.

Prosiding kemudian bersambung dengan saksi ke-4, Bekas pemandu peribadi pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin memberi keterangan.

Selepas Itu, bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid akan memberi keterangan berhubung kes rasuah solar ini.

Prosiding masih lagi berjalan di hadapan Zaini Mazlan ketika ini. -MalaysiaGazette