Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Pembentukan kerajaan baru Pakatan Nasional dengan Tun Mahathir Mohamad memang pernah dibincangkan tetapi masih bersifat kebarangkalian.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, perbincangan gabungan pembangkang yang dinamakan Pakatan Nasional itu bagi menyediakan menghadapi sebarang kemungkinan.

Bagaimanapun, katanya, ia hanya polemik politik kerana lima parti dalam Pakatan Harapan (PH) masih bekerjasama erat.

“Besar kemungkinan polemik ini sebenarnya berpunca daripada berlakunya beberapa ‘perbincangan’ tertutup di kalangan UMNO, khususnya menjelang mesyuarat bulanan Majlis Tertinggi (MT) UMNO esok.

“Sebenarnya memang pernah ada diskusi, tapi segala ‘perbincangan’ ini masih bersifat ‘brainstorm’ dan dianggap di peringkat awal dan spekulatif, satu persiapan menghadapi kebarangkalian.

“Selagi PH kekal sebagai satu ‘coalition’ yang telahpun berjaya membentuk kerajaan berikutan mandat yang diberikan rakyat pada PRU-14 lalu, selama itulah teori-teori Pakatan Nasional ini hanyalah satu teka-teki dan polemik politik,” katanya dalam catatan di Facebook malam ini.

Annuar berkata, pembentukan kerajaan baru hanya mungkin berlaku jika PH gagal kekal sebagai sebuah gabungan.

“Melainkan perdana menteri sememangnya mempunyai rancangan lain setelah melihat PH gagal atau anggotanya menimbulkan mudarat kepada kepentingan nasional seperti yang pernah disebut beliau suatu ketika dulu, iaitu beliau (Mahathir) tidak teragak-agak meninggalkan PH kalau ahlinya bertindak bertentangan dengan kepentingan nasional,” katanya.

Lagi pun Mahathir sehingga kini mempunyai mandat cukup untuk meneruskan tugasnya sebagai perdana menteri.

“Walaupun PH ada rancangan menggantikan Mahathir dengan Datuk Seri Anwar (Ibrahim), perkara itu sebenarnya tidak boleh dilakukan melainkan tertakluk kepada keperluan syarat dalam Perlembagaan, iaitu Anwar memerlukan sokongan mencukupi daripada ahli Dewan Rakyat.

“Masalahnya sekarang dikhuatiri Anwar tidak mempunyai bilangan yang cukup untuk menggantikan Mahathir.

“Sekiranya perdana Menteri (Mahathir) pula kehilangan sokongan daripada PH, ia tetap kekal sebagai perdana menteri sekiranya cukup bilangan ahli Parlimen daripada blok pembangkang menyokong beliau bersama 25 ahli Parlimen PPBM dan beberapa daripada fraksi PKR, agaknya dari situlah timbulnya isu kemungkinan wujud satu muafakat atau ‘coalition’ baru,” katanya.

Katanya, keutamaan pembangkang ketika ini menerusi Muafakat Nasional ialah memastikan kerajaan mampu menguruskan negara dengan baik.

Beliau mengulangi pendirian UMNO tidak akan menyokong atau bekerjasama dengan pihak yang bersama DAP.

“Sekiranya tiada DAP, barulah UMNO akan mengkaji, itupun mestilah cermat, berhati-hati dan tertakluk kepada syarat dan terma tertentu,” katanya lagi.- MalaysiaGazette