Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini menarik balik arahan kemudahan dialisis yang memerlukan syarat baharu kelayakan caruman yang ditetapkan sebelum ini, berkuat kuasa serta merta.

Dalam satu kenyataan, Perkeso berkata, ia berdasarkan kepada pertimbangan kebajikan pencarum dan saranan daripada Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran.

“Syarat ini adalah selari dengan prinsip perlindungan sosial dan kemampanan dana keselamatan sosial untuk masa hadapan.

“Walaupun arahan tersebut masih membolehkan sebilangan besar pencarum Perkeso untuk terus menikmati kemudahan dialisis, akan terdapat sebahagian daripada pencarum yang tidak memenuhi kelayakan yang ditetapkan.

“Perkara ini pastinya akan membebankan pesakit-pesakit buah pinggang, apatah lagi pembiayaan bagi rawatan dialisis adalah terhad pada ketika ini,” demikain menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Dengan penarikan itu, Perkeso berkata, kesemua pencarumnya yang layak, termasuklah penerima bantuan ilat kini boleh menerima kemudahan bantuan dialisis secara percuma seperti mana sebelum ini.

Melalui Arahan AKSP Bil. 1/2020 yang berkuatkuasa pada 10 Januari lalu, kemudahan dialisis perlu mengikut syarat baharu kelayakan caruman yang ditetapkan.

Bulan lalu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Perkeso menarik balik syarat baharu itu.

Menurut MTUC, syarat itu akan mengehad atau menafikan pencarum daripada rawatan dialisis percuma kerana langkah itu disifatkan tidak berperikemanusiaan.

“Keputusan Perkeso mengehad atau menafikan rawatan dialisis percuma kepada pemohon baharu, paling kejam kerana ia menjejaskan pekerja paling miskin,” kata Setiausaha Agung MTUC, J Solomon. – MalaysiaGazette