Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kanan) bercakap pada sidang media khas di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 07 FEBRUARI 2020.

PUTRAJAYA – Kerajaan meminta pengeluar-pengeluar topeng muka (3 ply surgical mask)  meningkatkan kapasiti masing-masing dan memberi jaminan akan membeli lebihan topeng muka yang dikeluarkan oleh kilang-kilang terbabit.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, ini adalah bagi memenuhi keperluan topeng muka ketika negara sedang berhadapan dengan virus 2019-nCoV.

“Dua hari lepas kami telah mengadakan pertemuan dengan pemain-pemain industri dan telah memberi jaminan jika mereka meningkatkan pengeluaran, kerajaan sedia untuk membeli.

“Bagi setiap tambahan pengeluaran sama ada harian, mingguan atau bulanan kerajaan akan beli.

“Dengan jaminan itu, pengilang boleh membekalkan topeng muka dengan serta-merta dengan meningkatkan pengeluaran harian mereka,” katanya semasa sidang media khas di Kementerian Kewangan hari ini.

Yang turut hadir Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Menurut Guan Eng, Kementerian Kewangan menyokong usaha KPDNHEP itu dan mahu topeng-topeng muka yang telah dibeli kerajaan diletakkan di lokasi yang diperlukan di seluruh negara.

“Ini dikira sebagai stockpile dan jika ada keperluan terhadap topeng muka tersebut, ianya telah tersedia.

“Kerajaan hanya mahu memastikan bekalan topeng muka mencukupi dan kami tidak mahu (ada yang mengambil kesempatan) dengan menaikkan harga topeng muka. Topeng muka adalah barang kawalan,” katanya.

Penularan wabak 2019-nCoV menyebabkan bekalan topeng muka terutamanya topeng muka pembedahan dan N95 tidak mencukupi di pasaran. – MalaysiaGazette