Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador meminta pihak-pihak tertentu supaya berhenti daripada mempolitikkan kes bekas suami Indira Gandhi yang kini bersembunyi selepas melarikan diri bersama anak perempuannya.

Beliau berkata, pendedahannya sebelum ini apabila menyatakan tahu di mana suspek yang nama Islamnya Ridhuan Abdullah dibuat disebabkan desakan daripada masyarakat.

Katanya, sedikit maklumat dalam kenyataannya tempoh hari telah menimbulkan banyak tanda tanya terutama daripada pihak Indira sendiri.

“Bila saya kata saya tahu, bukan saya tahu dia duduk di lokasi mana. Saya tahu dia berada di mana, tak semestinya dia berada dalam negara ini.

“Di Malaysia ini orang mati pun berpolitik, sudah tidak ada sekatan agama dan budaya. Semua hendak dipolitikkan. Jadi, mana maruah kita?” katanya,” katanya.

Minggu lalu, Abdul Hamid memyatakan beliau tahu di mana anak Indira berada dan satu inisiatif sedang berjalan untuk menyelesaikan kes itu.

Suspek didakwa melarikan diri daripada isterinya setelah menukar agamanya 11 tahun lalu.

Abdul Hamid turut menasihatkan individu itu supaya tidak lagi bersembunyi dan tampil untuk menyelesaikan soal penjagaan anak perempuannya demi kebaikan kedua-dua pihak.

Indira, seorang wanita Hindu, diberi hak menjaga Prasana tetapi perempuan itu dibawa lari Ridhuan.

Dia memeluk Islam pada 2009 sebelum menukar agama 3 anak mereka tanpa izinnya – langkah yang Mahkamah Persekutuan isytiharkan ditegah undang-undang pada 2018.

Mahkamah Persekutuan pada 2016 memerintahkan polis menahan Ridhuan dan memulangkan Prasana. – MalaysiaGazette

Saya tahu mana bekas suami Indira bersembunyi – KPN