Dr Mujahid Yusof

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mujahid Yusof didakwa tidak serius dalam mendepani isu transgender berpakaian wanita di Tanah Suci.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dikatakan hanya mengeluarkan kenyataan kesal dan melepaskan kes tersebut kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk membuat keputusan bagi menyekat media sosial transgender tersebut.

Sedangkan kelakuan individu terbabit bukan sahaja memalukan negara malah ia turut boleh mengundang bala Allah, kata Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir.

Tambahnya, lebih menyedihkan lagi, kenyataan yang dikeluarkan oleh kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) dilihat membela perbuatan tersebut seakan-akan dasar kebebasan hak asasi melangkaui hukum agama dalam soal kebebasan.

“Oleh itu, ketegasan Menteri amat diperlukan dalam menyelesaikan isu transgender bukan hanya mengeluarkan kenyataan kesal semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kenyataan itu dipercayai menjurus kepada tindak tanduk usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman yang menunaikan umrah baru-baru ini dengan berpakaian seperti wanita.

Tegas Shaharizukirnain, agama Islam bukan sahaja melarang perbuatan menukar jantina malah menunaikan umrah tidak mengikut jantina asal juga haram disisi agama.

Sehubungan itu, masyarakat diingatkan supaya melaksanakan ibadah sama umrah mahupun haji mengikut hukum hakam yang telah digariskan bukan berlandaskan hak kebebasan individu semata-mata.

Beliau turut menggesa kerajaan tidak sesekali tunduk dengan permintaan LFL dan segera mencari solusi yang lebih tegas terhadap penghinaan ini agar perbuatan ini tidak berulang lagi pada masa hadapan, sekali gus mendidik masyarakat menghormati hukum hakam agama. – MalaysiaGazette