Ahmad Amzad Hashim
Ahmad Amzad Hashim

KUALA LUMPUR – Kerajaan didesak mengkaji semula semua undang-undang bagi tujuan menjadikan sebarang perbuatan yang melibatkan transgender sebagai satu kesalahan.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, ini kerana undang-undang sedia ada hanya mengenakan hukuman terlalu kecil kepada pelaku.

“Perbuatan berpakaian secara berlawanan jantina, menukar jantina, alat kelamin atau mempromosi budaya LGBT secara terbuka tidak dikategorikan di bawah mana-mana kesalahan jenayah yang khusus oleh undang-undang Sivil.

“Jika ada sekalipun, hanyalah kesalahan berpakaian secara tidak senonoh yang boleh menganggu ketenteraman awam di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Walaubagaimanapun, hukuman yang boleh dikenakan sangat kecil, iaitu denda tidak melebihi seratus ringgit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Amzad berkata, kesalahan membabitkan amalan transgender juga sukar disabitkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Seksyen sedia ada hanya memperuntukkan larangan terhadap pemberian kandungan jelik di internet tidak mengkhususkan perbuatan membabitkan LGBT sebagai satu kesalahan,” katanya.

Dalam pada itu, agensi penguatkuasa syariah juga perlu memainkan peranan agar perbuatan mempromosikan LGBT khususnya di rumah ibadat umat Islam tidak terus diperlekeh.

“Agensi penguatkuasaan dan pendakwaan Syariah negeri-negeri juga digesa memainkan peranan aktif bagi memastikan pelaku transgender yang berada di bawah bidang kuasa negeri boleh diambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Katanya lagi, pemimpin Pas konsisten tidak sesekali boleh berkompromi dan mengiktiraf amalan transgender di Malaysia.

“Kes-kes yang diputuskan di mahkamah mengenai permohonan mengubah jantina di dalam kad pengenalan menunjukkan bahawa amalan transgender tidak diiktiraf di Malaysia.

“Malangnya, undang-undang Sivil dan Syariah yang berkaitan dengan transgender pada masa ini amat lemah sekali,” katanya lagi. – MalaysiaGazette