Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 10 kawasan di Kuala Lumpur yang mengalami gangguan bekalan air masih belum menerima bekalan air sepenuhnya disebabkan kedudukan premis di penghujung kawasan agihan dan di tempat tinggi.

Kawasan-kawasan tersebut ialah Bukit Antarabangsa, Taman Fairuza Ampang, Kampung Ampang Campuran, Taman Permai Jaya Ampang, Kampung Ampang Indah, Taman Sri Baru Ampang, Kampung Tasik Permai, Taman Sri Bayu Ampang, Kampung/Taman Tasek Tambahan.

“Berdasarkan pemantauan bacaan tekanan di sistem agihan, pemulihan bekalan air mengikut jumlah kawasan yang terjejas sehingga jam 7 pagi ini telah mencapai tahap 84.4%, yang mana 54 kawasan telah pulih,” kata Pengurusan Air Selangor dalam satu kenyataan.

Air Selangor memohon kerjasama para pelanggan untuk menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar bagi kawasan-kawasan yang masih terjejas.

Katanya, bantuan bekalan air menerusi lori-lori tangki terus digerakkan dan pelanggan boleh terus ke Pusat Khidmat Setempat (PKS) di AEON Big Ampang, Taman Dagang Permai, 68000 Ampang (Koordinat GPS: 3.141065, 101.779456) dan Pili Awam Lembah Jaya untuk mendapatkan bantuan atau boleh juga hubungi talian 15300. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.