Mustafa Ali

KUALA LUMPUR – Belum ada keputusan atau perbincangan yang konkrit dakwaan kononnya Muafakat Nasional (BN) akan bekerjasama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Pakatan Nasional (PN).

Penasihat Pas Pusat, Datuk Mustafa Ali berkata, beliau sendiri pada dasarnya tidak mendengar perancangan itu, sebaliknya menyifatkan sebagai khabar angin yang dicetuskan oleh pihak yang tidak mempunyai keyakinan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Setahu saya tak ada yang konkrit mengenai Pakatan Nasional ini. Belum (cadangan bekerjasama) adalah.

“Cuma sekarang kerana rakyat tidak puas hati dengan prestasi kerajaan PH sedia ada ini sehingga mereka lihat menjejaskan soal kredibiliti politik negara.

“Mungkin transisi ini yang menyebabkan timbul cakap-cakap MN mahu mengadakan kerjasama dengan Dr. Mahathir tanpa DAP,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette selepas majlis minum teh dan dialog Assabiqun Kawasan Pas Pandan di Kampung Pandan, hari ini.

Turut hadir, Bendahari Pas Pusat yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Pandan, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Ketua Assabiqun Kawasan Pandan, Hashim Johari.

Menurut Mustafa yang merupakan bekas Setiausaha Agung Pas Pusat, dari segi logiknya memang Pas dan UMNO sebagai parti pembangkang sekata dengan rakyat bahawa kerajaan PH sekarang tidak boleh diharapkan.

Ditanya keputusan Jawatankuasa Pas Pusat akan mengadakan undi percaya kepada Dr. Mahathir pada sidang Dewan Negara Mac ini, beliau menjelaskan, ia lanjutan daripada pendirian parti itu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri supaya terus menerajui kerajaan sehingga habis penggal PRU14.

“Saya rasa UMNO juga pernah menyatakan sokongan kepada Dr. Mahathir supaya terus memegang jawatan Perdana Menteri satu penggal.

“Bagi Pas, kita memang secara terbuka menyatakan demikian. Itu yang menyebabkan kita akan menyatakan sokongan undi percaya kepadanya (Dr. Mahathir),” katanya.

Bagaimanapun, ujarnya, Pas dan UMNO akan berbincang soal itu sebagaimana janji yang dicapai dalam Muafakat Nasional.

“Saya rasa tentunya Pas akan bincang juga dengan UMNO soal undi percaya kepada Dr. Mahathir. Sebab sekarang ini kita sudah meterai muafakat (MN), kita nak bersama (capai kata putus) dalam sesuatu isu dengan perbincangan,” katanya. – MalaysiaGazette