Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Persidangan Liga Ahli Parlimen Untuk Al-Quds (LP4Q) Ketiga di One World Hotel, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 08 FEBRUARI 2020.

PETALING JAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan perjanjian damai antara Israel dan Palestin atau Deal of Century sebagai satu perjanjian yang berat sebelah.

Perdana Menteri menegaskan, perjanjian tanpa rundingan dengan Palestin itu hanya memberi kelebihan kepada rakyat yang berkuasa dan tidak mengendahkan hak mereka yang tertindas.

Menurut beliau, perjanjian itu tidak akan menjadi Palestin sebagai negara berdaulat sebaliknya hanya akan menjadikan dominasi penduduk seperti apartheid ke atas berjuta-juta rakyat Palestin.

“Kali terakhir ia terjadi ketika Jerman menduduki Danzig dan Sudetenland. Untuk menjadikan keadaan lebih buruk, perjanjian menyerahkan bandar suci Jerusalem kepada pihak Israel yang secara jelas mengabaikan perasaan berjuta-juta umat Islam dan Kristian di seluruh dunia.

“Perjanjian ini hanya akan membawa lebih banyak konflik ke rantau ini dan akan dibantah oleh jutaan orang di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Liga Ahli Parlimen Untuk Al-Quds (LP4Q) di sini hari ini.

Dr Mahathir menambah, apa yang mengecewakan selepas lebih daripada tujuh dekad, hanya Penyelesaian Dua Negara diwujudkan oleh Israel manakala rakyat Palestin masih ditinggalkan untuk berjuang mencari keadilan, kedamaian dan negara berdaulat mereka sendiri.

Ujar beliau, usaha antarabangsa untuk mencari penyelesaian yang tepat untuk isu ini kekal sebahagian besarnya tidak berjaya atau tidak dilaksanakan.

“Walaupun Malaysia mahu bersahabat dengan semua negara dan menghormati kedaulatan mereka tanpa mengira keyakinan ideologi mereka, kita mesti terus bercakap menentang ketidakadilan dan mempertahankan hak-hak yang tertindas.

“Dasar luar Malaysia ke atas Palestin kekal sama sejak dekad yang lalu apabila kita menjadi pihak yang bebas.

“Kami akan sentiasa menyokong Palestin. Pengisytiharan Kemerdekaan Palestin dengan penubuhan negara itu pada 15 November 1988 telah diakui banyak negara termasuk Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette