Pesawat Cessna C340A milik AFJet yang digunakan untuk pembenihan awan di Melaka. Pix dari Pejabat Exco.

MELAKA – Kerajaan negeri melalui Badan Kawal Selia Air (BKSA) hari ini memulakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) bagi mengatasi masalah bekalan air sehingga menyebabkan catuan terpaksa dilakukan berikutan penerimaan hujan yang kurang di negeri ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, operasi itu akan dilakukan selama hampir dua jam bermula 2.30 petang ini menggunakan pesawat Cessna 340A.

“Kita menjangkakan sekiranya apa yang kita rancang berjalan dengan baik, hujan akan turun di kawasan hulu iaitu di Sungai Batang Melaka, jajaran masuk ke Sungai Melaka dan kawasan empangan khususnya di Empangan Durian Tunggal, Alor Gajah.

“Operasi ini akan diteruskan esok yang mana Jabatan Meteorologi telah menyumbangkan kepakaran teknikal mereka mengikut kesesuaian cuaca bagi menjayakan operasi ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi pembenihan hujan itu menggunakan kaedah pembenihan kering iaitu ‘hygroscopic flares’ yang dipasang pada sayap pesawat tersebut.

Selain Empangan Durian Tunggal, Melaka mempunyai dua lagi empangan iaitu Empangan Jus dan Empangan Asahan di Jasin.

Catuan air di Melaka memasuki fasa kedua, mulai esok hingga 23 Februari selepas fasa pertama selama 12 hari dimulakan pada 29 Januari lepas.

Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dalam satu kenyataan memaklumkan fasa kedua itu akan turut melibatkan kawasan perindustrian, pelancongan dan hospital di sekitar bandar Melaka selain pengguna domestik di sekitar kawasan terbabit.

Melaka pada 29 Jan lepas melaksanakan catuan bekalan air harian membabitkan 550,673 orang iaitu 62.8 peratus penduduk untuk memastikan bekalan air mencukupi bagi menghadapi cuaca panas kering dalam fasa kedua Monsun Timur Laut dijangka berakhir Mac ini. – Bernama