Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani beramah mesra bersama peserta pada Program Dialog Usahawan Anak Muda di Keramat Mall, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 09 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Johari Abdul Ghani menganggap Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Puad Zarkashi hanya memberikan pandangannya berhubung langkah pemecatan Datuk Lokman Noor Adam sebagai ahli UMNO oleh Biro Politik parti.

Beliau menyifatkan, Puad menyuarakan apa yang berlaku semasa mesyuarat dihadirinya pada Jumaat lalu.

“Sebenarnya Puad Zarkashi ini hanya memberikan pandangan dia mengenai mesyuarat, pandangan telah diambil kira dan suara majoriti juga telah diambil kira, itu saja, tidak ada lebih daripada itu.

“Keputusannya telah dibuat oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang paling tertinggi sekali di dalam hirarki UMNO.

“Itulah kuasa mutlak. So, apa juga yang dibuat oleh Lembaga Disiplin parti dia akan pergi ke Majlis Kerja Tertinggi,” katanya ketika ditemui selepas Program Dialog Usahawan Muda di Keramat Mall di sini, hari ini.

Abdul Ghani menjelaskan, terdapat kes-kes tertentu yang diputuskan oleh MT UMNO tidak melalui Lembaga Disiplin parti pun dan perkara itu biasa dilakukan dalam hirarki parti tersebut serta ia tidak menjadi satu masalah.

Jumaat lalu, Puad dalam hantaran di Facebook mempersoal langkah Biro Politik UMNO memecat Lokman daripada parti dengan tidak melakukan perkara sama terhadap Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Puad memaklumkan perkara itu di laman sosial beberapa minit selepas beliau meninggalkan Menara Dato Onn PWTC, tempat berlangsung mesyuarat yang turut dihadiri olehnya.

Baru-baru ini Lokman mendedahkan rakaman audio Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkaitan cadangan kerjasama antara UMNO dan Bersatu di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tindakan beliau mengundang kritikan pelbagai pihak malah ada yang mendakwa rakaman audio itu telah disunting dan tidak menggambarkan keseluruhan ucapan Zahid.

Dalam pada itu, Abdul Ghani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan membandingkan kematangan ahli UMNO dan Pas dalam menilai sesuatu mesyuarat yang diadakan hingga boleh mencapai kata sepakat.

Dengan memberikan contoh sikap ahli Pas yang bersatu hati dalam sesuatu keputusan mesyuarat, beliau berkata, meskipun terdapat perbezaan pendapat yang diluahkan dalam perbincangan berkenaan namun, selepas itu tidak timbul sebarang pertikaian diluar.

Sebaliknya, perkara itu tidak berlaku di dalam UMNO yang kebiasaannnya akan membuat cerita liar yang menyebabkan ahli-ahli parti di bawah meletakkan tanggapan, berlaku perselisihan dalam kalangan pemimpin mereka. – MalaysiaGazette