Tan Sri Anifah Aman
Anifah Aman

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada masa pemerintahan Datuk Seri Najib Razak antara akan menjadi saksi seterusnya dalam kes pembelaan SRC International Sdn Bhd (SRC) selepas ini.

Menurut peguambela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, kedua-dua saksi itu berpotensi untuk dipanggil memberikan keterangan dalam pembelaan kes bekas perdana menteri itu.

Jamil Khir Baharom

Kedua-dua bekas menteri itu pernah menghadiri mesyuarat rasmi yang diatur khas antara Almarhum Raja Arab Saudi, Raja Abdullah dengan Najib di Riyadh, Arab pada 11 Januari 2010.

Antara saksi lain akan memberikan keterangan ialah pakar dari Australia yang dilantik Najib bagi menganalisis tandatangan pada 13 dokumen SRC International yang dipertikaikan dan dijangka akan membuat pemeriksaan keatas dokumen-dokumen berkenaan mulai esok.

Selain daripada itu, Muhammad Shafee juga memberitahu, pihaknya kini dalam proses mendapatkan beberapa kenyataan saksi yang tidak dapat dijejak sehingga kini bagi kes ini, antaranya bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil.

Mohd Nazlan kemudian menetapkan Isnin depan untuk mendengar permohonan berhubung perkara tersebut.

Najib membela diri terhadap tujuh tuduhan menyalahgunakan dana SRC International sebanyak RM42 juta, yang terdiri daripada tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan yang berkaitan dengan dana SRC.

Mahkamah ditangguhkan hari ini dan akan bersambung pada jam 9 pagi esok. –MalaysiaGazette