KUALA LUMPUR – Bekas duta Malaysia ke Arab Saudi dijangka memberi keterangan bagi pihak pembelaan kes SRC International Sdn Bhd yang dikaitkan dengan penyewelengan dana sebanyak RM42 juta oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas duta itu merupakan saksi keempa pada prosiding pembelaan kes ini yang sudah masuk hari ke-19 dengan bekas Perdana Menteri membela diri atas tujuh tuduhan salahguna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram terpalit ke atasnya.

Perbicaraan dijalankan i di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Minggu lepas, peguam bela Najib, Harvinderjit Singh memberi isyarat bahawa pihaknya akan memanggil saksi seterusnya bagi perbicaraan yang masuk hari ke-77 hari ini.

Sebelum ini, saksi ke-3, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah memberitahu mahkamah bahawa jaminan kerajaan bukanlah sesuatu yang boleh dianggap mudah prosesnya.

Malah beliau mendedahkan, walaupun jaminan kerajaan bagi pinjaman tersebut diberikan kepada sesuatu entiti atau syarikat, ia akan melalui satu proses yang panjang dan memakan masa sebulan atau lebih.

Dakwa beliau, ia juga bukan keputusan seorang individu, sebaliknya memerlukan persetujuan sebulat suara daripada Kabinet sebelum mendapat jaminan kerajaan.

Ini berlainan sekali dengan keterangan saksi pendakwaan, bekas Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman Pasaran Kewangan dan Aktuari Kementerian Kewangan, Datuk Maliami Hamad yang mendakwa, beliau pernah menerima ‘tekanan’ bagi tujuan itu.

Dedah Maliami, beliau pernah menerima tekanan pelbagai pihak termasuk Najib untuk menyiapkan Memorandum Jemaah Menteri (MJM) bagi pengeluaran surat jaminan kerajaan.

Surat jaminan itu dipohon oleh SRC International Sdn Bhd untuk mendapatkan pinjaman RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) pada 2011.

Saksi ke-43 pendakwaan itu melalui pernyataan saksi berkata, arahan untuk menyegerakan penyediaan MJM bukan saja datang daripada SRC International tetapi juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz, yang diyakininya menerima arahan daripada Najib.

Prosiding akan bersambung dengan Najib serta pasukan peguam pendakwa dan pembelaan sudah tiba, termasuk ketua pendakwa merangkap Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomasi. –MalaysiaGazette

Bukan senang pinjaman dapat jaminan kerajaan – Irwan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast