SINGAPURA – Airbus mendedahkan rekaan pesawat ‘montok’ yang menggabungkan sayap dengan badan yang direka untuk mengurangkan pengeluaran karbon sebanyak 20 peratus.

Pembuat pesawat Eropah itu telah melakukan ujian-ujian penerbangan petunjuk teknologi berukuran 3.2 meter lebar, dengan nama kod Maveric, di lokasi yang dirahsiakan di tengah Perancis sejak tahun lalu.

Model itu didedahkan pada Pertunjukan Udara Singapura.

Konsep rekaan ‘gabungan sayap-badan’ tercetus sejak 1940an yang dirintis oleh pesawat pengebom Amerika Syarikat (AS), B-2 dan projek penyelidikan X-48 antara Boeing dan Pentadbir Angkasa Lepas dan Aeronautik (NASA) sedekad lalu.

Pesawat seperti itu sukar dikawal namun seretan aerodinamik kurang menyebabkan penerbangannya lebih efisyen.

Pembuat pesawat kini mengkaji semula rekaan seperti itu ketika industri pesawat penumpang cuba menghasilkan pesawat mesra alam sekitar, lapor Reuters.

“Kami percaya kini merupakan masa yang sesuai untuk menerapkan teknologi ini dan mengkajinya,” kata Naib Presiden Eksejutif Airbus (Kejuruteraan), Jean-Brice Dumont.

“Kami perlu teknologi ini untuk memenuhi cabaran alam sekitar kami. Ia adalah pesawat generasi seterusnya, kami sedang mengkaji pilihan,”.

Beliau berkata, adalah terlalu awal untuk mengatakan sama ada bentuk seperti itu boleh memberi sumbangan kepada pesawat jarak sederhanan generasi akan datang, iaitu pada 2030an.

Sejak ujian dilakukan, industri penerbangan telah melihatkan peningkatan dalam material yang menjadikan sesebuah pesawat lebih ringan dan penambahbaikan kawalan penerbangan berikutan kemajuan pengkomputeran, kata Dumont. – Agensi