Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB)

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menawarkan moratorium (penangguhan pembayaran) selama enam bulan bagi pembayaran balik pembiayaan kepada pelanggan individunya yang terkesan daripada penularan wabak koronavirus.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed berkata, dengan peningkatan kekhuatiran mengenai penularan koronavirus, Bank Islam mengikuti perkembangan berita terbaharu dan secara aktif berhubung dengan pelanggan yang menerima kesan daripada situasi itu.

Katanya, kebajikan dan kepentingan komuniti sentiasa menjadi keutamaan Bank Islam dan oleh itu pihaknya akan mengambil langkah proaktif dalam membantu para pelanggan dan perniagaan untuk menghadapi masalah kewangan mereka.

“Kami berharap tawaran ini akan membantu meringankan kebimbangan mereka terhadap komitmen kewangan bulanan dengan pilihan moratorium pembayaran balik sehigga enam bulan,” katanya dalam kenyataan.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu, pelanggan Bank Islam dinasihatkan mengunjungi cawangan berdekatan atau menghubungi Pusat Perhubungan Bank Islam di talian 03-2690 0900. – MalaysiaGazette